NEGARA-negara Eropah masih mengalami isu kekurangan bekalan ubat-ubatan yang memberi kesan kepada pesakit, menurut satu tinjauan baru-baru ini.
Kumpulan Farmaseutikal Kesatuan Eropah (PGEU) menjalankan tinjauan melibatkan farmasi di 29 negara termasuk ahli EU, Türkiye, Norway dan Macedonia Utara.
Keputusan tinjauan menunjukkan bahawa kekurangan bekalan ubat-ubatan di beberapa negara di Eropah bertambah teruk berbanding tahun lepas, lapor Agensi Anadolu.
Tiga perempat daripada negara berkenaan melaporkan bahawa kekurangan adalah lebih parah pada musim sejuk ini berbanding setahun lalu.
Ubat yang paling sukar diperoleh di farmasi di seluruh Eropah terutamanya antibiotik kumpulan amoksisilin yang digunakan dalam rawatan jangkitan saluran pernafasan, sirap batuk untuk pesakit pediatrik, sirap parasetamol dan beberapa ubat untuk tekanan darah.
Kekurangan ubat berpunca daripada pengurangan bekalan walaupun permintaan melonjak.
Di Eropah pada tahun ini menyaksikan jangkitan bermusim terutamanya influenza dan virus pernafasan syncytial (RSV) bermula lebih awal dan merebak dengan cepat berbanding biasa.
Pengeluar farmaseutikal tidak bersedia untuk berdepan lonjakan permintaan ditambah dengan krisis tenaga yang berlaku di Eropah dan kenaikan harga bahan mentah yang menjejaskan pengeluaran. – Bernama, 31 Januari, 2023.
Komen