Perancis gesa Eropah wujud dasar tenaga bersepadu


Presiden Perancis Emmanuel Macron gesa Eropah mempunyai satu dasar tenaga bersepadu supaya dapat menurunkan harga tenaga. – Gambar EPA, 8 Oktober, 2022.

PRESIDEN Perancis Emmanuel Macron pada Khamis menggesa supaya diwujudkan satu dasar tenaga bersepadu Eropah susulan perang Rusia-Ukraine.

“Kami perlu menyelaraskan aktiviti untuk menurunkan harga tenaga. Itulah yang kami cuba lakukan di Kesatuan Eropah (EU). Kami telah mengadakan perbincangan yang sangat menarik mengenai perkara ini,” lapor  Agensi Anadolu memetik Macron dalam sidang akhbar bersama Perdana Menteri Czech Petr Fiala dan Presiden Moldova Maia Sandu selepas mesyuarat Komuniti Politik Eropah di ibu negara Czech, Prague.

“Terdapat beberapa negara Eropah, yang merupakan pengeluar tenaga, pengeluar gas iaitu Norway dan Azerbaijan,” katanya, sambil menambah bahawa ia “sangat penting” dalam mempelbagaikan sumber tenaga Eropah dan mengurangkan pergantungannya kepada “kuasa luar yang tidak berkongsi nilai-nilai kita.”

Macron juga berkata perlindungan infrastruktur biasa, seperti saluran paip, telah dibincangkan semasa mesyuarat itu, merujuk kepada kebocoran saluran paip Nord Stream baru-baru ini.

Presiden Perancis itu juga berikrar untuk terus menyokong Ukraine dalam peperangannya dengan Rusia.

Menurut laporan itu, Fiala berkata bahawa 44 pemimpin rakan kongsi Eropah di Prague membincangkan keamanan, kestabilan, penghijrahan, tenaga, keselamatan dan ekonomi.

“Saya berharap perbincangan hari ini akan disusuli dengan tindakan bersama,” kata Fiala.

Di pihaknya, Sandu berkata akan memberikan komitmen untuk membantu Ukraine menegakkan kedaulatannya dengan usaha yang diperlukan untuk mengukuhkan keselamatan Eropah dalam jangka sederhana dan jangka panjang.”

“Kami tidak akan membiarkan krisis tenaga menjejaskan demokrasi kita.”

Mesyuarat pertama Komuniti Politik Eropah diadakan di Prague pada Khamis.

Komuniti itu, yang ditubuhkan selepas cadangan Presiden Perancis Emmanuel Macron pada Mei, menghimpunkan pemimpin negara anggota EU dan 17 negara Eropah yang lain merangkumi Türkiye, UK, Ukraine, Azerbaijan, Albania, Armenia, Serbia, Bosnia dan Herzegovina, Montenegro, Kosovo, Macedonia Utara, Norway, Switzerland, Iceland, Lichtenstein, Moldova, dan Georgia.

Ia bertujuan untuk memupuk dialog politik dan kerjasama mengenai isu kepentingan bersama dan mengukuhkan keselamatan, kestabilan dan kemakmuran di benua Eropah, menurut satu kenyataan EU.

“Platform untuk penyelarasan politik ini tidak menggantikan mana-mana organisasi, struktur atau proses sedia ada dan tidak bertujuan untuk mewujudkan pertubuhan yang baharu pada peringkat ini,” tambah kenyataan itu. – Bernama, 8 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen