SEKURANG-KURANGNYA 15,000 orang meninggal dunia di Eropah kerana cuaca panas pada 2022 setakat ini, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam, dengan Sepanyol dan Jerman antara negara yang paling teruk terjejas.
Tiga bulan dari Jun hingga Ogos adalah paling panas di Eropah sejak rekod bermula, dan suhu yang sangat tinggi membawa kepada kemarau terburuk pernah disaksikan di benua itu sejak Zaman Pertengahan.
“Berdasarkan data negara yang dikemukakan setakat ini, dianggarkan sekurang-kurangnya 15,000 orang meninggal dunia khususnya akibat panas pada 2022,” kata Pengarah Serantau WHO untuk Eropah Hans Kluge dalam satu kenyataan.
“Hampir 4,000 kematian di Sepanyol, lebih 1,000 di Portugal, lebih 3,200 di United Kingdom, dan sekitar 4,500 kematian di Jerman dilaporkan oleh pihak berkuasa kesihatan sepanjang tiga bulan musim panas itu,” tambahnya.
“Anggaran ini dijangka meningkat apabila lebih banyak negara melaporkan lebihan kematian akibat haba,” katanya, susulan sidang kemuncak iklim PBB di Mesir dan menggesa tindakan pantas.
Gelombang haba berturut-turut antara Jun dan Julai, yang menyaksikan suhu mencecah 40 darjah Celsius di Britain buat kali pertama, menyaksikan kira-kira 24,000 lebihan kematian di Eropah.
“Tekanan haba, apabila badan tidak dapat menyejukkan dirinya, adalah punca utama kematian berkaitan cuaca di Wilayah Eropah,” kata WHO.
Ia menambah suhu yang melampau boleh menjadi bahaya kepada individu menghidap penyakit jantung kronik, masalah pernafasan dan diabetes.
WHO berkata peningkatan gelombang haba dan cuaca ekstrem lain akan “mengakibatkan lebih banyak penyakit dan kematian” dalam dekad akan datang melainkan tindakan “drastik” diambil. – AFP, 8 November, 2022.
Komen