90,000 penduduk Eropah dijangka maut akibat gelombang haba menjelang 2100


Menurut EEA, kira-kira 129,000 penduduk Eropah meninggal dunia akibat kepanasan melampau dalam tempoh antara 1980 hingga 2020. – Gambar EPA, 8 November, 2022.

JIKA tiada sebarang tindakan diambil, gelombang haba boleh menyebabkan kematian 90,000 penduduk Eropah setiap tahun menjelang akhir abad ini, kata Agensi Alam Sekitar Eropah (EEA).

“Tanpa langkah penyesuaian, dan di bawah senario pemanasan global 3 darjah Celsius menjelang 2100, sebanyak 90,000 penduduk Eropah boleh maut akibat haba melampau setiap tahun,” katanya.

“Dengan pemanasan global 1.5 darjah C, ini dikurangkan kepada 30,000 kematian setiap tahun.”

Negara-negara berikrar untuk mengekalkan pemanasan global kepada 1.5 darjah Celsius di atas paras pra-industri—matlamat yang dunia akan terlepas dengan trend pelepasan semasa.

Kira-kira 129,000 penduduk Eropah meninggal dunia akibat kepanasan melampau dalam tempoh antara 1980 hingga 2020, kata agensi itu, memetik data insurans.

Tetapi gelombang haba yang lebih kerap dikaitkan dengan perubahan iklim, populasi yang semakin tua dan peningkatan urbanisasi menjadikan angka ini berkemungkinan meningkat beberapa tahun akan datang, terutamanya di selatan benua itu, katanya.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Isnin berkata sekurang-kurangnya 15,000 orang meninggal dunia setakat tahun ini di Eropah kerana cuaca panas.

Tiga bulan dari Jun-Ogos adalah paling panas di Eropah sejak rekod bermula, dan suhu yang sangat tinggi membawa kepada kemarau terburuk yang pernah disaksikan di benua itu sejak Zaman Pertengahan.

Di sebalik bahaya haba itu sendiri, EEA berkata perubahan iklim juga boleh menyebabkan Eropah lebih terdedah kepada penyakit berjangkit seperti malaria dan demam denggi yang disebarkan melalui gigitan nyamuk.

Air laut yang semakin panas menjadi semakin sesuai untuk bakteria yang menyebabkan taun, khususnya di sepanjang garis pantai Laut Baltik.

Justeru, EEA menyeru kepada tindakan.

“Hampir semua kematian yang dikaitkan dengan suhu tinggi boleh dicegah dalam konteks Eropah,” katanya.

“Mengurangkan kesan kesihatan haba memerlukan pelaksanaan pelbagai penyelesaian, termasuk pelan tindakan kesihatan haba yang berkesan, penghijauan bandar, reka bentuk dan pembinaan bangunan yang sesuai, serta melaraskan masa dan keadaan bekerja,” katanya. – AFP, 9 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen