BELANDA dan Portugal menyertai banyak negara di Eropah yang menuntut pengembara dari China mengemukakan bukti keputusan ujian Covid-9 yang negatif setibanya di pintu masuk negara tersebut.
Menurut Menteri Kesihatan Belanda Ernst Kuipers, peraturan baharu itu akan berkuatkuasa Selasa ini (10 Januari) selaras dengan saranan Kesatuan Eropah (EU).
“Saya rasa amat penting untuk laksanakan larangan sebagai sebahagian langkah anti-Covid Eropah,” katanya.
Lapangan Terbang Antarabangsa Amsterdam-Schiphol merupakan antara lapangan terbang terbesar di Eropah dan juga hab untuk pelbagai sambungan penerbangan antara benua.
Semalam Kementerian Kesihatan Portugal mengumumkan peraturan itu selari dengan pelaksanaan yang dilakukan negara lain di Eropah bagi mencegah Covid-19.
“Peraturan itu berkuat kuasa bermula esok (Ahad 8 Januari 2023) dan syarikat penerbangan bertanggungjawab untuk mematuhi langkah semasa menaiki pesawat,” katanya.
Ia berkata bahawa penumpang dalam penerbangan dari China yang tiba hari ini (Sabtu) juga boleh tertakluk kepada ujian saringan Covid-19 secara rawak.
Sebelum ini, negara anggota EU termasuk Jerman, Perancis, Itali dan Sepanyol sudah mengumumkan keperluan ujian Covid-19 itu bagi pengembara dari China.
Amerika Syarikat dan Jepun antara negara bukan Eropah yang mengumumkan langkah sama. – AFP, 7 Januari, 2023.
Komen