Sultan Hasanal Bolkiah adakan lawatan khas ke Malaysia


Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah bergambar bersama Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam rangka lawatan khas ke Malaysia hari ini. – Gambar Jabatan Penerangan, 28 November, 2022.

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim akan mengadakan pertemuan dengan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah semasa lawatan khas baginda ke Malaysia, hari ini.

Pertemuan itu adalah yang julung kali antara Anwar dan Sultan Hassanal Bolkiah selepas perdana menteri memegang jawatan pada 24 November, menurut kenyataan Kementerian Luar. 

Lawatan terakhir baginda ke Kuala Lumpur adalah pada 4 hingga 6 Mac 2019 untuk menghadiri Rundingan Pemimpin Tahunan ke-22 antara Malaysia dan Brunei. 

Malaysia dan Brunei mempunyai hubungan istimewa yang telah lama terjalin melalui persamaan warisan, budaya dan hubungan sesama rakyat. 

Bertitik tolak daripada hubungan istimewa ini, kedua-dua pemimpin akan mengambil peluang semasa lawatan itu untuk menilai kemajuan kerjasama sedia ada, di samping meneroka potensi baharu bagi meningkatkan hubungan dan kerjasama yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara.

Pada 2021, Brunei ialah rakan dagangan ke-30 terbesar Malaysia dan keenam terbesar dalam Asean dengan jumlah perdagangan bernilai RM8.03 bilion (AS$1.94 bilion).

Anwar akan turut meraikan Seri Paduka Baginda serta Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan delegasi Brunei dalam satu majlis santapan tengah hari. – Bernama, 28 November, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen