Lawatan PM bukti hubungan akrab Malaysia-Brunei


Lawatan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob ke Brunei membantu mengukuhkan lagi kerjasama yang sekian lama terjalin antara kedua-dua negara. – Gambar Facebook, 16 Februari, 2022.

HUBUNGAN dua hala Malaysia dan Brunei sentiasa akrab dan terus diperkukuhkan lagi menerusi lawatan dua hari Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob ke Brunei bermula Isnin.

Menteri Luar Saifuddin Abdullah menerusi akaun Twitternya berkata lawatan Ismail Sabri membantu mengukuhkan lagi kerjasama yang sekian lama terjalin antara kedua-dua negara.

“Kedua-dua negara bersetuju untuk meningkatkan kerjasama ke arah pemulihan ekonomi dan pengurusan Covid-19, termasuk mewujudkan Laluan Perjalanan Bervaksin (VTL) melalui udara,” ciapnya.

Pelaksanaan VTL udara dan darat serta pengiktirafan sijil vaksinasi digital MySejahtera dan BruHealth, dua perkara utama yang diputuskan semasa lawatan rasmi dua hari itu. 

Perjanjian yang dicapai hasil perbincangan antara Ismail Sabri dan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah itu bakal melegakan rakyat kedua-dua negara selain membantu memulihkan sektor ekonomi.

Buat masa ini terdapat lebih 25,000 rakyat Malaysia menetap di Brunei, terdiri golongan profesional, pelajar dan yang bekerja di negara ini serta rakyat Sarawak, khususnya di kawasan sempadan yang berulang-alik ke Brunei.

Lawatan rasmi Ismail Sabri ke Brunei adalah yang pertama sejak dilantik sebagai perdana menteri Ogos lepas. – Bernama, 16 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen