Sarawak, Brunei perlu bincang tentang caj lintas sempadan, kata ahli Parlimen


Desmond Davidson

AHLI Parlimen Limbang Hasbi Habibollah memphon kerajaan Sarawak membuka rundingan dengan Brunei berhubung caj masuk dan keluar B$3 (RM9.63) yang mula dikenakan negara kaya minyak itu terhadap pengembara sejak 1 Ogos.

Caj perkhidmatan itu terpakai kepada warga Brunei dan warga asing serta berkuat kuasa pada hari sama Brunei membuka semula sempadannya selepas menarik balik sekatan perjalanan.

Hasbi yang juga timbalan menteri pengangkutan berkata kerajaan negeri perlu mencari jalan untuk meringankan beban kewangan yang bakal ditanggung oleh rakyat Limbang yang kerap berulang alik ke Lawas atau Miri.

Brunei dikelilingi Limbang dan hanya ada satu jalan ke Lawas atau untuk ke Miri dan ia perlu melintasi negara itu.

Bandar Miri sudah lama menjadi magnet bagi penduduk Brunei, selain Limbang dan Lawas menjadi tarikan pada hujung minggu dan cuti umum.

Bagi orang Limbang untuk ke Lawas, contohnya, mereka perlu melalui Temburong dan perjalanan sehari akan menelan kos melebihi RM38.

Caj dikenakan kepada semua pengembara sempadan darat yang tiba dan berlepas kecuali penghuni kenderaan milik kerajaan Brunei yang digunakan untuk tujuan rasmi, kenderaan kecemasan, van jenazah atau kenderaan yang digunakan untuk pengebumian.

Diplomat, pegawai konsulat, kanak-kanak berumur dua tahun ke bawah serta penjawat awam yang menjalankan tugas rasmi juga dikecualikan daripada membayar caj.

Miri salah satu destinasi pelancongan utama bagi warga Brunei, terutamanya pada hujung minggu.

Angka sebelum pandemik menunjukkan purata tahunan 1.2 juta warga Brunei ke Miri atau Lawas dan data dari Kementerian Pelancongan Malaysia menunjukkan rakyat Brunei membelanjakan B$1.16 bilion (RM3.72 bilion) di Malaysia pada 2019. – 3 Ogos, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen