PM menghadap Sultan Brunei


Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob hari ini menghadap Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah sempena lawatan rasmi dua harinya ke negara ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Februari, 2022.

PERDANA Menteri Ismail Sabri Yaakob hari ini menghadap Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah sempena lawatan rasmi dua harinya ke negara ini.

Ismail Sabri yang ditemani isteri Muhaini Zainal Abidin tiba di Istana Nurul Iman pada pukul 10.45 pagi.

Turut berangkat pada majlis menghadap itu ialah Raja Isteri Pengiran Anak Saleha.

Pada sesi menghadap itu, Perdana Menteri turut diiringi Menteri Luar Saifuddin Abdullah, Menteri Wilayah Persekutuan Shahidan Kassim dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei Reza Raja Zain Shah.

Ismail Sabri kemudian mengadakan pertemuan empat mata kira-kira setengah jam bersama Sultan Hassanal Bolkiah.

Selesai pertemuan itu, Perdana Menteri dan delegasi diraikan pada Majlis Persantapan oleh Sultan Hassanal Bolkiah.

Ismail Sabri tiba di Brunei semalam, lawatan pertama beliau ke negara ini selepas dilantik sebagai Perdana Menteri pada Ogos lepas. – Bernama, 15 Februari, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen