PM adakan lawatan rasmi ke Brunei esok 


Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob akan mengadakan lawatan rasmi ke Bandar Seri Begawan dari 14 hingga 15 Februari 2022.– Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Februari, 2022.

PERDANA Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob akan mengadakan lawatan rasmi ke Bandar Seri Begawan dari 14 hingga 15 Februari 2022, lawatan rasmi pertamanya ke Brunei sejak menjadi Perdana Menteri Malaysia pada 21 Ogos tahun lepas. 

Wisma Putra  berkata dalam lawatan itu Ismail Sabri dijadual menghadap Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah.

“Kedua-dua pemimpin akan mengambil peluang untuk menilai kemajuan kerjasama yang sedang berjalan di samping mengukuhkan lagi hubungan dan kerjasama pasca COVID-19 yang akan memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara. 

“Ini termasuk perbincangan mengenai cadangan mewujudkan aturan Laluan Perjalanan Bervaksin (VTL) melalui udara, kerjasama dalam bidang diplomasi kesihatan, dan cadangan ke arah pengukuhan kerjasama ekonomi,” kata Wisma Putra dalam satu kenyataan.

Pertemuan berkenaan akan disusuli dengan Majlis Santapan Rasmi yang akan dihoskan oleh Sultan Hassanal Bolkiah.

Perdana Menteri juga akan menghadiri sesi pertemuan bersama diaspora Malaysia di Bandar Seri Begawan.

Kenyataan itu menyebut Ismail Sabri akan diiringi oleh isteri Muhaini Zainal Abidin, Menteri Luar Saifuddin Abdullah, Menteri Kanan Kerja Raya Fadillah Yusof, Menteri Wilayah Persekutuan Shahidan Kassim dan pegawai kanan kerajaan.

Wisma Putra berkata lawatan itu akan dikendali berdasarkan tatacara Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia dan Brunei. – Bernama, 13 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen