Persahabatan China-Brunei terus kukuh 


Presiden China, Xi Jinping China berkata demikian dalam perutusan tahniahnya kepada Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah sempena ulang tahun ke-38 kemerdekaan Brunei pada Rabu.– Gambar EPA, 25 Februari, 2022.

CHINA bersedia untuk memperkasakan kerjasama dengan Brunei dalam usaha memerangi pandemik Covid-19 dan pembinaan kerangka Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) untuk memberi manfaat kepada rakyat di kedua-dua negara.

Presiden China, Xi Jinping China berkata demikian dalam perutusan tahniahnya kepada Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah sempena ulang tahun ke-38 kemerdekaan Brunei pada Rabu.

Brunei adalah pengerusi Asean pada 2021.

Tahun lalu juga merupakan ulang tahun ke-30 terjalinnya hubungan dialog China-Asean, menyaksikan banyak aktiviti sambutan dua hala, termasuk sidang kemuncak sambutan berkenaan dipengerusikan bersama pemimpin China dan Brunei.

Ketika lawatan Xi ke Brunei pada 2018, beliau dalam artikel yang diterbitkan media tempatan telah memetik peribahasa Melayu iaitu ‘tak kenal maka tak cinta’.

China dan Brunei mula saling ‘mengenali’ sejak lebih 2,000 tahun lalu. Jika dilihat daripada sudut sejarah, Laksamana Cheng Ho pernah dua kali singgah di negara Asia Tenggara itu.

Pada tahun 1408, Sultan Brunei, Sultan Abdul Majid membawa rombongan terdiri lebih 150 orang, termasuk kerabat diraja dan menteri untuk melawat China.

Bagaimanapun, baginda gering dan mangkat di Nanjing, ibu negara China pada era Dinasti Ming. 

Kini, makam baginda di Nanjing, turut terdapat Dewan Persahabatan China-Brunei untuk memperingati sejarah persahabatan itu.

Pelbagai kerjasama pragmatik antara China dan Brunei dalam usaha bersama melawan pandemik dan pembangunan inisiatif BRI menjadi contoh persahabatan kedua-dua negara pada era baharu ini.

Apabila wabak tercetus di China, Brunei turut menghulurkan bantuan kepada China.

Karya lagu dan video oleh pelbagai lapisan masyarakat Brunei yang memberi sokongan kepada China menyuntik semangat kepada negara Tembok Besar itu untuk memerangi wabak secepat mungkin.

China turut membantu Brunei dengan menyediakan barangan perubatan, vaksin, membina makmal saringan dan platform data raya apabila Brunei dilanda Covid-19.

Untuk rekod, dagangan antara China dengan Brunei pada 2021 sebanyak AS$2.85 bilion, buat pertama kali melebihi AS$2 bilion, dan menyaksikan peningkat 46.6 peratus berbanding 2020. – Bernama, 25 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen