Timbul persoalan tentang status tiga kerusi Umno


K. Kabilan

Walaupun umum maklum yang Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi menggugurkan beberapa veteran Umno, namun masih timbul persoalan mengenai status dua kerusi lagi yang penyandangnya dikhabarkan akan digugurkan juga. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 1 November, 2022.

WALAUPUN Pengerusi Barisan Nasional (BN) Ahmad Zahid Hamidi menggugurkan beberapa veteran Umno sebagai calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), namun masih timbul persoalan tentang status dua kerusi lain yang penyandangnya dikhabar akan digugurkan juga.

Kerusi ketiga pula dilaporkan membabitkan calon payung terjun yang dahulunya daripada PAS, yang telah menyebabkan beberapa kekecohan dalam Umno.

Ketika mengumumkan senarai calon PRU15 malam ini, Ahmad Zahid tidak mendedahkan calon Tanjung Karang, Jempol dan Kuala Nerus. Ketiga-tiga kerusi itu telah menjadi topik hangat sejak beberapa hari ini atas sebab yang berbeza.

Awal hari ini, muncul klip video menunjukkan penyokong Noh Omar menangis selepas mendengar berita beliau digugurkan daripada bertanding di Tanjung Karang.

Walaupun cuma beberapa jam sebelum pengumuman Ahmad Zahid, klip video itu menunjukkan Noh kelihatan muram keluar dari pusat khidmat ketika penyokongnya melaungkan sokongan terhadapnya.

Noh merupakan ahli Parlimen Tanjung Karang enam penggal dan dilihat secara meluas sebagai panglima perang parti di Selangor. Beliau juga merupakan ketua Umno dan BN Selangor.

Bagaimanapun khabar angin menyatakan Ahmad Zahid tidak berminat untuk mengekalkan Noh malah merancang untuk menggugurkannya bersama beberapa veteran parti lain, yang juga berada dalam Jemaah Kabinet Ismail Sabri Yaakob.

Selain Noh, antara menteri kabinet penyokong Ismail Sabri termasuk Shahidan Kassim (Arau), Annuar Musa (Ketereh), Adham Baba (Tenggara) dan Halimah Mohamed Sadique (Kota Tinggi). Turut dalam kategori itu ialah Tajuddin Abdul Rahman (Pasir Salak) dan timbalan menteri Zahidi Zainul Abidin (Padang Besar).

Dalam pengumumannya, Ahmad Zahid menggugurkan kesemua mereka dan menggantikan mereka dengan calon baharu, selain Noh.

Noh hadir di ibu pejabat parti ketika presiden Umno mengumumkan senarai calon.

Zahid juga tidak mengumumkan sebarang calon untuk Jempol di Negeri Sembilan.

Awal hari ini, pusat khidmat BN di Jempol ditutup selepas penyandangnya Mohd Salim Mohd Sharif dikatakan telah disingkirkan sebagai calon oleh pucuk pimpinan Umno.

Setiausaha Umno Bahagian Jempol Muhamad Zamri Omar mendakwa ia adalah keputusan pucuk pimpinan BN memilih individu lain.

“Kami akan menutup pusat operasi kami di semua cawangan tersebut kerana kami tidak boleh menerima keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan.

“Kami ada masa mendesak, kami berusaha ke arah itu lebih-lebih lagi Mohd Salim sememangnya sudah terbukti memberikan khidmat terbaik sepanjang satu penggal di bahagian ini.

“Kami bimbang, Parlimen Jempol ini yang sebelumnya merupakan kawasan putih bertukar menjadi kawasan kelabu, semua nak tutup bilik gerakan. Ini bukan ancaman, bukan bantahan, tapi kami mahu Ketua Umno Bahagian Jempol kekal menjadi calon Parlimen ini,” katanya seperti dipetik Utusan Malaysia.

Semalam, orang kuat BN Perlis dan penyandang Parlimen Arau Shahidan Kassim memberi bayangan beliau telah digugurkan daripada bertanding atas tiket Umno.

“Malam ini malam kesedihan yang teramat sangat. Semua bilik gerakan BN Parlimen Arau telah ditutup dan bendera telah diturunkan. Kali pertama dalam sejarah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook semalam.

Awal hari ini, bekas ahli Parlimen Ketereh Annuar Musa turut mengesahkan beliau tidak dijemput ke majlis pengumuman calon BN malam ini, sekali gus mengukuhkan spekulasi beliau tidak dicalonkan oleh parti bertanding pada PRU15 kali ini.

Selain itu, Ahmad Zahid juga tidak mengumumkan calon untuk Parlimen Kuala Nerus.

Bahagian Umno tempatan di Kuala Nerus merungut apabila dilaporkan kepimpinan Umno bersetuju membenarkan bekas ahli PAS Mohd Khairuddin Aman Razali bertanding di bawah tiket BN bagi mengekalkan kerusi itu.

Sumber Umno yang tidak mahu namanya disebut memberitahu The Malaysian Insight pencalonan Khairuddin diputuskan sendiri oleh pemimpin tertinggi parti.

“Memang betul penyandang kerusi Parlimen Kuala Nerus Khairuddin akan bertanding atas tiket Umno.

“Tapi kita bahagian tidak menamakan Khairuddin, ia dibuat oleh pimpinan pusat, (top five),” katanya.

Tambahnya, mereka menjangka pemimpin pusat melihat bekas pemimpin PAS itu mampu memberikan kemenangan dengan untuk mengekalkan kerusi Kuala Nerus bagi pihak Umno.

Namun kata sumber, keputusan pemimpin Umno pusat tetap mengundang penolakan dan kekecewaan dari Umno Bahagian Kuala Nerus.

Keputusan Zahid untuk tidak mengumumkan calon bagi tiga kerusi itu malam ini menunjukkan yang perbincangan lanjut masih berjalan.

Sememangnya, ada desas desus dari akar umbi Umno yang tidak berpuas hati dengan pemilihan calon parti itu.

Di beberapa tempat, seperti di Ampang dan Port Dickson, bahagian Umno tempatan di sana menunjukkan rasa tidak senang selepas kerusi itu masing-masing diberikan kepada MCA dan MIC.

Dalam pada itu, beberapa nama lain yang diduga akan diberi kerusi, atau diberi kerusi baharu, telah disahkan.

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hassan telah dicalonkan untuk Parlimen Rembay, manakala bekas penyandang kerusi itu Khairy Jamaluddin diletakkan untuk bertanding di Parlimen Sungai Buloh, dan naib presiden Khaled Nordin di Kota Tinggi serta Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz di Kuala Selangor

Ahmad Zahid turut menamakan calon MIC untuk 10 kerusi walaupun terdapat laporan parti itu memboikot majlis pengumuman kerana perselisihan faham mengenai pencalonan.

Malaysia akan mengundi pada 19 November. Pengundian awal pada 15 November. Hari penamaan calon pada 5 November. – 1 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen