Annuar Musa akui tidak dijemput ke pengumuman calon BN 


Penyandang kerusi Parlimen Ketereh Annuar Musa berkata beliau tidak dijemput ke majlis pengumuman calon Barisan Nasional di Kuala Lumpur malam ini.– Gambar fail The Malaysian Insight, 1 November, 2022.

ANNUAR Musa mengesahkan beliau tidak dijemput ke majlis pengumuman calon Barisan Nasional (BN) di Kuala Lumpur, malam ini, sekali gus mengukuhkan spekulasi beliau tidak dicalonkan oleh parti bertanding pada pilihan raya umum kali ini.

Penyandang kerusi Parlimen Ketereh berkata beliau bagaimanapun “tidak mahu mendahului qadak dan qadar” yang ditentukan Tuhan.

“Kalau ada jemputan, saya pergi. Kalau tak ada jemputan, saya memang sudah ada program penuh sampai malam ini (di Kelantan). Saya bekerja ikut jadual saya,” katanya pada sidang media di Kota Bharu.

Annuar adalah antara sekurang-kurangnya 10 penyandang dari Umno yang disebut-sebut akan digugurkan.

Annuar, calon pilihan raya sejak 1986, juga berkata beliau tidak mahu terburu-buru membuat keputusan sebaliknya akan berbincang dengan penyokong dan jenteranya di Ketereh.

Katanya, beliau mahu memikirkan jalan politiknya ke hadapan dengan tenang – “tidak boleh mengamuk dan marah” – kerana baginya senario politik sudah berubah dan pilihan untuk bertanding juga banyak.

“Sekarang kalau tidak duduk dalam parti kerajaan pun, di luar pun ada parti lain juga parti kerajaan. Ini kerana senario politik nasional sudah berubah.

“PAS pun parti kerajaan, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pun parti kerajaan. Semua di bawah perdana menteri yang sama. Tepuk dada tanya selera,” katanya.

Setakat ini, katanya, beliau menyerah urusan pemilihan calon kepada parti dan memahami proses berkenaan.

“Saya tidak akan melobi, tidak akan meminta-minta, tidak akan merayu. Kita serah bulat-bulat pada parti,” katanya.

Annuar sebelum ini berkata sekiranya bertanding PRU15 beliau hanya akan bertanding di Ketereh dan tidak di tempat lain.

Annuar, bekas setiausaha agung Umno, jadi calon BN lapan kali pilihan raya umum sejak 1986.

Beliau menang kerusi negeri dua kali iaitu Peringat pada 1986 dan Kok Lanas pada 2004.

Beliau juga menang tiga kali kerusi parlimen pada 1995 mewakili Peringat dan kemudian mewakili Ketereh pada 2013 dan 2018. – 1 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen