Khairuddin calon Umno tanding Kuala Nerus, kata pemimpin negeri


Diyana Ibrahim

Bekas pemimpin PAS Khairuddin Aman Razali dijangka akan bertanding sebagai calon parti itu di kerusi Parlimen Kuala Nerus. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 November, 2022.

UMNO Terengganu menjangka bekas pemimpin PAS Khairuddin Aman Razali akan bertanding sebagai calon parti itu di kerusi Parlimen Kuala Nerus.

Sumber Umno yang tidak mahu namanya disebut memberitahu The Malaysian Insight pencalonan Khairuddin diputuskan sendiri oleh pemimpin tertinggi parti.

“Memang betul penyandang kerusi Parlimen Kuala Nerus Khairuddin akan bertanding atas tiket Umno.

“Tapi kita bahagian tidak menamakan Khairuddin, ia dibuat oleh pimpinan pusat, (top five),” katanya.

Sumber berkata pemilihan Khairuddin bertanding atas tiket parti Melayu itu mengejutkan pemimpin negeri kerana namanya tidak pernah dicadangkan oleh mereka.

Malah mereka hanya mengetahui mengenai pencalonan Khairuddin dua hari lepas, katanya.

Mereka menjangka pemimpin pusat melihat bekas pemimpin PAS itu mampu memberikan kemenangan dengan untuk mengekalkan kerusi Kuala Nerus bagi pihak Umno.

Namun kata sumber, keputusan pemimpin Umno pusat tetap mengundang penolakan dan kekecewaan dari Umno Bahagian Kuala Nerus.

Ini memandangkan bekas menteri besar, Ahmad Razif Abdul Rahman antara calon kegemaran mereka untuk bertanding di kerusi Parlimen.

“Apa yang membimbangkan kita langkah ini mungkin memakan diri kepada Umno sendiri. Pemimpin fikir meletakkan Khairuddin boleh menarik pengundi PAS atau pengundi tengah di kawasan itu.

“Tapi berapa banyak, dan bagaimana pula jika terdapat protes daripada ahli Umno bahagian sendiri yang tidak berpuas hati.

“Apa pun kita harap akan ada keajaiban yang berlaku malam (ini),” katanya merujuk majlis pengumuman calon Umno dan gabungan BN.

Khairuddin dalam satu kenyataannya semalam meminta ahli PAS pengundi Islam memilih BN dalam pilihan raya umum kali ini.

Gabungan itu lebih berupaya menghalang kemenangan PH berbanding Perikatan Nasional (PN), katanya sewaktu berucap di majlis bersama jentera BN Parlimen Kuala Nerus, Kuala Terengganu.

Khairuddin yang menggondol pelbagai kontroversi sewaktu menjadi menteri keluar PAS pada Mac selepas jawatannya dalam parti digugurkan.

Beliau dikenali antara pemimpin PAS yang menggerakkan  kewujudan Muafakat Nasional (MN) dengan Umno.

Umno Terengganu pada bulan lalu menyatakan pendirian menolak permintaan Khairuddin untuk bertanding atas tiket parti tersebut.

Pengerusinya Ahmad Said mendedahkan beliau ditanya pemimpin tertinggi sama ada  boleh meletakkan Khairuddin sebagai calon.

Jelas Ahmad, keputusan itu dibuat atas prinsip Umno Terengganu menolak kerjasama bersama dengan PAS sejak awal dan juga kerana tidak dapat menaruh kepercayaan terhadap presiden parti Islam itu. – 1 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen