MIC adakan mesyuarat tergempar esok


Vasudevan Vamadevan

Presiden MIC S A Vigneswaran berkata mesyuarat tergempar esok akan memutuskan sama ada parti itu mahu menerima kerusi yang ditawarkan atau menarik diri daripada bertanding pada PRU15. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 November, 2022.

MIC akan mengadakan mesyuarat tergempar pagi esok bagi memutuskan sama ada parti komponen Barisan Nasional (BN) itu akan meletakkan calon pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata presidennya S A Vigneswaran.

Dalam satu mesej pesanan ringkas kepada The Malaysian Insight, Vigneswaran berkata MIC tidak akan menghadiri majlis pengumuman senarai calon BN di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur malam ini.

Mesyuarat tergempar esok katanya akan memutuskan sama ada MIC mahu menerima kerusi yang ditawarkan kepada parti itu atau menarik diri daripada bertanding pada PRU15.

Vigneswaran enggan menghuraikan secara lanjut berkenaan mesyuarat tersebut.

Pada PRU14, MIC bertanding di sembilan kerusi Parlimen, namun hanya menang di dua kerusi iaitu Tapah menerusi timbalan presidennya M Saravanan dan Cameron Highlands yang dimenangi ketua Pemudanya Sivarraajh Chandran.

Bagaimanapun, Mahkamah Pilihan Raya memutuskan kemenangan Sivarraajh tidak sah dan terbatal selepas terbukti wujud amalan rasuah.

Kerusi Cameron Highlands kemudian diberi kepada Umno untuk bertanding pada pilihan raya kecil pada Januari 2019, yang dimenangi wakilnya Ramli Mohd Nor.

Ramli mencipta sejarah sebagai Orang Asli pertama menjadi ahli Parlimen.

Mesyuarat tergempar MIC esok diadakan ketika desas-desus mengatakan Umno akan menggugurkan beberapa penyandang dalam pilihan raya kali ini.

Semalam, penyandang kerusi Parlimen Arau Shahidan Kassim memberi bayangan beliau digugurkan daripada bertanding pada PRU15.

Dalam satu catatan di Facebook semalam, Shahidan memaklumkan semua bilik gerakan BN di Arau ditutup dengan semua bendera parti diturunkan.

“Malam ini malam kesedihan yang teramat sangat.

“Semua bilik gerakan BN di parlimen Arau telah ditutup dan bendera telah diturunkan. Kali pertama dalam sejarah,” tulisnya.

Hari ini, jentera pilihan raya di BN Jempol pula dilaporkan lumpuh selepas penyandang kerusi Parlimen itu, Mohd Salim Mohd Sharif didakwa tidak terpilih sebagai calon PRU15.

Antara yang juga disebut-sebut bakal digugurkan adalah Pengerusi Perhubungan Umno Selangor Noh Omar, penyandang Parlimen Pasir SalakTajuddin Abdul Rahman, Adham Baba (Parlimen Tenggara) dan Halimah Mohamed Sadique (Kota Tinggi).

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi PRU15 pada 19 November, penamaan calon 5 November dan pengundian awal pada 15 November ini. – 1 November, 2022.   


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen