UAE sahkan 3 lagi kes baharu cacar monyet


Angka keseluruhan wabak cacar monyet di UAE meningkat kepada 16 pada Ahad. – Gambar fail EPA, 24 Julai, 2022.

EMIRIAH Arab Bersatu (UAE) pada Ahad mengesahkan tiga lagi kes membabitkan jangkitan wabak cacar monyet, menjadikan angka keseluruhan sebanyak 16 setakat ini.

Kementerian Kesihatan UAE dalam satu kenyataan memaklumkan masyarakat dinasihati mematuhi langkah pencegahan dan berhati-hati ketika melancong atau menghadiri sebarang perhimpunan.

Pihak berkuasa kesihatan sedang mengambil semua langkah perlu termasuk “menjalankan siasatan, pemeriksaan terhadap kontak rapat dan tindakan susulan,” serta menggesa orang ramai mendapatkan maklumat dari sumber rasmi selain mengelak daripada menyebarkan khabar angin, lapor agensi berita Anadolu.

Peningkatan kes di seluruh dunia direkodkan pada Mei dan UAE mencatatkan kes pertama virus cacar monyet pada 24 Mei.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Sabtu mengisytiharkan cacar monyet sebagai darurat kesihatan global iaitu tahap amaran tertinggi bagi sesuatu penyakit. – Bernama, 24 Julai, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen