Presiden Israel melawat UAE buat kali pertama


Presiden Israel Isaac Herzog dan isteri Michal di lapangan terbang Ben Gurion sebelum terbang ke Emiriah Arab Bersatu hari ini dalam lawatan pertama ketua negara Israel ke UAE sejak hubungan diplomatik diwujudkan antara kedua-dua negara pada 2020. – Gambar AFP, 30 Januari, 2022.

PRESIDEN Israel Isaac Herzog tiba di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Ahad dalam perjalanan diplomatik berprofil tinggi terbaharu sejak negara-negara itu menormalkan hubungan.

Herzog, yang dalam perjalanan bersama isterinya, dijadualkan bertemu Putera Mahkota Abu Dhabi Sheikh Mohammed bin Zayed Al-Nahyan dan Menteri Luar Sheikh Abdullah bin Zayed Al-Nahyan, kata pejabatnya.

“Sekarang dalam penerbangan bersama isteri saya Michal untuk lawatan bersejarah di UAE, yang memberi simbolik keamanan antara negara,” katanya dalam ciapan di Twitter sebelum berlepas ke Abu Dhabi.

Herzog juga akan duduk bersama perdana menteri UAE dan pemerintah Dubai, Sheikh Mohammed bin Rashid Al-Maktoum, selain melawat Ekspo 2020 Dubai, tambah pejabatnya.

Lawatan itu dilakukan kira-kira 16 bulan selepas negara Teluk yang kaya itu menjalin hubungan diplomatik dengan Israel, menjadi negara Arab ketiga berbuat demikian selepas Mesir dan Jordan.

Duta UAE di Israel, Mohamed Al Khaja, pada Sabtu berkata perjalanan itu sebelum ini dijadualkan pada 9 Januari tetapi “ditunda kerana Covid-19”.

“Kami menantikan lawatan bersejarah ini, yang akan meningkatkan hubungan dua hala… kerana kami sasar untuk menandatangani perjanjian ekonomi dan perdagangan penting antara kedua-dua negara dalam masa terdekat,” tambahnya.

Perjanjian normalisasi UAE-Israel adalah sebahagian daripada siri perjanjian yang diperkenalkan Amerika Syarikat (AS) yang dikenali sebagai Perjanjian Abraham, pakatan yang telah menimbulkan kemarahan rakyat Palestin.

Perjanjian itu terputus dengan konsensus Liga Arab berdekad-dekad menentang pengiktirafan Israel sehingga ia menandatangani perjanjian damai menubuhkan sebuah negara Palestin dengan ibu kota di timur Baitulmaqdis.

Perdana Menteri Naftali Bennett mencipta sejarah bulan lalu apabila beliau menjadi ketua kerajaan Israel pertama melawat UAE, dalam perjalanan yang sebahagiannya tertumpu pada perbincangan antarabangsa mengenai program nuklear Iran, keutamaan keselamatan Israel.

Herzog merupakan ketua negara Israel pertama yang secara rasmi melawat UAE.

Perjanjian Abraham telah dirundingkan di bawah bekas presiden AS Donald Trump sebelum disambung dan disahkan oleh pentadbiran Presiden Joe Biden.

Bahrain dan Maghribi juga telah menormalkan hubungan dengan Israel di bawah perjanjian tersebut.

Sudan bersetuju untuk berbuat demikian namun hubungan diplomatik rasmi tidak muncul di tengah-tengah ketidakstabilan yang semakin meningkat di Khartoum. – AFP, 30 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen