UAE hulur sumbangan kepada warga tentera terjejas banjir, kata Hishammuddin


Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein berkata sumbangan UAE itu berbentuk barang keperluan asas khusus untuk anggota, veteran ATM dan warga awam Kementerian Pertahanan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Disember, 2021.

KEPERLUAN warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terjejas akibat banjir baru-baru ini, terus menjadi perhatian apabila kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menjadi negara luar terbaharu tampil menghulurkan sumbangan.

Ketika mengumumkan perkara tersebut, Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein berkata sumbangan itu berbentuk barang keperluan asas khusus untuk anggota, veteran ATM dan warga awam Kementerian Pertahanan (Mindef).

Seramai 3,000 warga ATM melibatkan 775 keluarga terkesan akibat banjir baru-baru ini.

Beliau berkata sumbangan tersebut bukan sahaja membuktikan keprihatinan kerajaan UAE tetapi juga menyerlahkan keakraban hubungan hala antara kedua-dua negara sejak sekian lama.

“Hari ini saya nak umumkan kerajaan UAE juga berbesar hati untuk menyalur sumbangan berbentuk barangan keperluan asas khusus untuk anggota, veteran ATM dan warga awam Mindef yang terkesan.

“Antara yang akan disumbangkan ialah sejadah berjumlah 2,000 helai, tuala (4,000 helai), cadar (4,000 helai), selimut (4,000 helai) dan bantal (4,000 biji),” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke Markas Briged Kelapan Infantri Malaysia, Pengkalan Chepa, di Kota Bharu hari ini.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada kerajaan UAE kerana sentiasa bersama-sama Malaysia ketika negara ini ditimpa musibah.

Hishammuddin berkata menerusi gabungan lima syarikat swasta termasuk syarikat industri pertahanan, Mindef setakat ini telah berjaya mengumpul sumbangan bantuan banjir berjumlah RM3.7 juta merangkumi wang tunai dan barang keperluan asas.

“Syarikat-syarikat yang telah menyalurkan sumbangan dana bantuan banjir kali ini kepada Mindef ialah Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Affin Bank, Boustead Group, Pharmaniaga dan Sapura Group.

“Sumbangan yang diterima ini akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi meringankan beban bukan sahaja anggota dan warga awam Mindef, tetapi juga saya sendiri secara peribadi mahu fokus turut diberikan bagi membantu veteran-veteran ATM yang terkesan akibat banjir di beberapa negeri ketika ini,” katanya. – Bernama, 30 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen