PESTA Buku Antarabangsa Sharjah (SIBF) 2021 yang berakhir Sabtu lepas (13 November), berjaya menarik lebih 1.6 juta pengunjung dari 109 negara meskipun dalam suasana pandemik Covid-19.
Pameran buku terbesar dunia selama 11 hari itu, yang dianjurkan oleh Sharjah Book Authority (SBA) di Pusat Ekspo Sharjah, menghimpunkan 1,632 penerbit dan agen persuratan dari 83 negara yang ingin membina rangkaian dan menjalankan perniagaan.
Statistik dikeluarkan oleh SBA menunjukkan golongan wanita merupakan pengunjung terbesar iaitu 51.9% manakala lelaki 48.1%, kumpulan usia bawah 15 tahun meliputi 1.3%; 16 dan 30 tahun (52.3%); 31 dan 45 tahun (35.5%); manakala 46 tahun dan ke atas 11.1%.
Antara penemuan menarik pada pameran edisi ke-40 itu ialah kira-kira 20,000 pengunjung masuk ke SIBF 2021 lebih daripada sekali dan beribu lagi melawat pameran sebanyak tiga hingga tujuh kali.
Emiriah Arab Bersau (UAE) mengungguli dari segi pengunjung paling ramai, diikuti India, Mesir, Syria, Jordan, Pakistan, Iraq, Filipina, Maghribi, Tunisia, Sudan, Algeria, Itali, Perancis, Jerman, Denmark, Austria, Amerika Syarikat, Kanada dan lain-lain negara.
Pengerusi SBA Ahmed Rakkad Al Ameri menzahirkan ucapan tahniah kepada Ahli Majlis Tertinggi dan Pemerintah Sharjah, Sheikh Dr Sultan Muhammad Al Qasimi, atas kejayaan luar biasa selama empat dekad penganjuran SIBF.
Ahmed berkata kepimpinan berwawasan beliau telah menghasilkan budaya kecemerlangan yang hebat bagi UAE dan dunia Arab, sekali gus membuktikan bahawa mereka adalah negara yang aktif membaca, mencipta, berinovasi dan menerbitkan buku.
“Berakhirnya pameran buku ini bukan menandakan penamat sebaliknya permulaan kepada perjalanan baharu bagi budaya kecemerlangan di UAE serta rantau Arab, dengan suara golongan penulis dan intelektual semakin didengari di samping mula bergema di seluruh dunia.
“Kami berharap untuk melihat lebih banyak lagi minda kreatif yang menyumbang kepada kemanusiaan dengan berkongsi dalam mencapai matlamat pembangunan menerusi penghargaan dan pertukaran budaya,” katanya.
Ahmed juga menyatakan bahawa penyertaan besar golongan penerbit profesional dan kehadiran pengunjung membuktikan kesediaan generasi hari ini serta akan datang menerima buku dan ilmu pengetahuan.
Menurutnya ia turut menunjukkan tarikan Sharjah di peringkat serantau dan antarabangsa sebagai platform terbaik dalam bidang kesusasteraan, kreativiti, seni serta silang budaya.
“Sebagai asas pembelajaran yang kukuh membuatkan buku akan terus teguh dalam mendepani sebarang kesulitan, dan minda yang terbina mampu memacu kemakmuran untuk semua,” katanya. – Bernama, 15 November, 2021.
Komen