AS, UAE bincang isu kehadiran tentera Rusia di Libya


Setiausaha Negara AS Mike Pompeo (kanan) pada Jumaat bertemu Menteri Luar Emiriah Arab Bersatu Sheikh Abdullah bin Zayed Al Nahyan bagi membincangkan isu kehadiran tentera Rusia di Libya. – Gambar AFP, 23 November, 2019.

SETIAUSAHA Negara Amerika Syarikat Mike Pompeo pada Jumaat bertemu Menteri Luar Emiriah Arab Bersatu Sheikh Abdullah bin Zayed Al Nahyan bagi membincangkan isu kehadiran tentera Rusia di Libya, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Negara. 

“Pompeo dan Al Nahyan membincangkan keperluan untuk bertindak balas terhadap perilaku tidak stabil rejum Iran,” menurut jurucakap Jabatan Negara Morgan Ortagus dalam kenyataan berkaitan pertemuan itu. 

Mereka turut membincangkan situasi di Libya termasuk “kehadiran Rusia dan keperluan mendesak untuk meredakan ketegangan, satu gencatan senjata dan satu penyelesaian politik.”

Minggu lepas, Ortagus menggesa pasukan Tentera Kebangsaan Libya pimpinan komander Khalifa Haftar agar menghentikan serangan mereka di negara Afrika Utara itu. 

“Hari ini, Dialog Keselamatan AS-#Libya dilancarkan di Washington D.C. Kami menggesa agar ‘Tentera Kebangsaan Libya’ menghentikan serangannya, memudahkan kerjasama AS-Libya dan menghalang percubaan Rusia untuk mengeksploit konflik itu,” kata Ortagus di Twitter.

Rusia menafikan sebarang kehadiran tentera di negara yang kaya minyak dan terjerumus dalam kancah peperangan itu sejak 2011 apabila pemimpinnya selama empat dekad Muammar Gaddafi digulingkan dan terbunuh dalam pemberontakan yang dibantu oleh Nato.

Sejak itu Libya menyaksikan kemunculan dua pihak yang bersaing untuk merebut kuasa termasuk membabitkan Haftar di timur Libya dan Kerajaan Perpaduan berpangkalan di Tripoli yang diiktiraf PBB.

Mereka turut membincangkan kepentingan perpaduan Majlis Kerjasama Teluk,” kata Ortagus. – Bernama, 23 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen