Majlis media UAE henti sementara edar akhbar, majalah, bahan bercetak


Larangan itu tidak tertakhluk untuk bahan penerbitan bertujuan memupuk kesedaran yang diluluskan pihak berkuasa kesihatan. – Gambar EPA, 22 Mac, 2020.

MAJLIS Media Kebangsaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) memutuskan untuk menghentikan sementara pengedaran semua akhbar, majalah dan bahan bercetak berkuat kuasa Selasa (24 Mac).

Keputusan itu turut mengharamkan pengedaran bahan bercetak, termasuk iklan, di kompleks kediaman, restoran, hotel, pusat kesihatan dan klinik, ruang menunggu di sektor awam dan pusat perkhidmatan sektor swasta.

Bagaimanapun, pelanggan tetap bahan penerbitan itu dan kedai-kedai besar di pusat beli-belah dikecualikan, dengan syarat semua langkah pencegahan dan keselamatan dipatuhi, lapor agensi berita Emiriah Arab Bersatu (WAM).

Larangan itu tidak tertakhluk untuk bahan penerbitan bertujuan memupuk kesedaran yang diluluskan pihak berkuasa kesihatan.

Keputusan berkenaan selaras dengan langkah pencegahan untuk membendung penularan wabak Covid-19.

Majlis media itu berkata akhbar harian boleh memanfaatkan infrastruktur digital untuk menyalurkan berita serta maklumat kepada orang ramai. – Bernama, 22 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen