Pemimpin pembangkang Madagascar ditahan 


Ratusan rakyat Magadascar mengadakan protes berikutan peningkatan kos sara hidup dan masalah ekonomi. – Gambar EPA, 24 Julai, 2022.

POLIS Madagascar menahan dua anggota kanan parti pembangkang utama pada hari Sabtu semasa protes di ibu negara terhadap peningkatan kos sara hidup dan masalah ekonomi.

Ratusan penunjuk perasaan anti-kerajaan berkumpul di tengah-tengah Antananarivo, dipantau oleh kehadiran tentera dan polis yang ramai.

Polis berkata mereka menahan Rina Randriamasinoro, setiausaha agung parti pembangkang Tiako I Madagasikara (TIM), dan penyelaras kebangsaannya Jean-Claude Rakotonirina berikutan ketegangan antara penunjuk perasaan dan pasukan keselamatan. Pasangan itu kemudiannya dibebaskan.

“Mereka telah ditangkap dan diletakkan dalam tahanan polis kerana membuat komen yang menimbulkan kebencian dan kekacauan awam,” kata pengawas Antananarivo Angelo Ravelonarivo kepada AFP.

Inflasi telah melonjak ke paras tertinggi dalam beberapa dekad di banyak negara, didorong oleh perang di Ukraine dan pelonggaran sekatan Covid.

Penganjur ingin mengadakan perhimpunan di dalam gudang milik ketua pembangkang Marc Ravalomanana, tetapi penunjuk perasaan mendapati pasukan keselamatan menghalang akses ke tempat itu.

Penunjuk perasaan kemudian mengadakan protes duduk di luar bangunan.

Rakaman yang dikongsi di media sosial menunjukkan polis menarik Randriamasinoro dan Rakotonirina daripada orang ramai sebelum membawa mereka pergi dengan menaiki pikap polis.

“Perhimpunan itu dibenarkan semalam dan kemudian pagi ini kami mendapati polis di luar pintu pagar,” kata ahli parlimen pembangkang Fetra Ralambozafimbololona.

Penahanan itu mencetuskan bantahan lanjut, dengan penunjuk perasaan berikrar tidak akan meninggalkan kawasan itu sehingga dua lelaki itu dibebaskan—sebelum akhirnya bersurai pada sebelah petang. – AFP, 24 Julai, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen