Amnesty gesa bantuan segera untuk penduduk Madagascar


Lebih sejuta penduduk di wilayah selatan Madagascar terjejas akibat kemarau panjang.– Gambar EPA, 27 Oktober, 2021.

AMNESTY International menggesa kerajaan Madagascardan dunia meningkatkan usaha untuk menyalurkan bantuan ke selatan negara berkenaan yang dilanda kemarau.

Lebih sejuta penduduk di kawasan berkenaan diancam kebuluran dan ada yang hampir menemui ajal, kata kumpulan pemerhati itu. 

Kemarau sejak beberapa bulan lalu, tercetus berikutan perubahan iklim merupakan bencana terburuk sejak empat dekad, katanya dalam laporan yang dikeluarkan pada persidangan perubahan iklim di Glasgow. 

Amnesty turut menggesa negara kaya untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan dan tawarkan bantuan kewangan serta teknikal bagi membantu Madagascar menghadapi perubahan iklim itu. 

“Masyarakat antarabangsa perlu sediakan segera bantuan kepada penduduk di Madagascar yang terjejas oleh kemarau dengan meningkatkan bantuan kemanusiaan serta dana tambahan untuk kerugian yang dialami mereka,” kata setiausaha agung Amnesty Agnes Callamard. 

Kemarau menjejaskan wilayah yang mana lebih 90% penduduknya hidup dalam kemiskinan, menyebabkan sebahagian besar daripada mereka berhijrah.

“Adalah satu ketidakadilan yang serius bahawa kesan perubahan iklim paling dirasai oleh penduduk di negara membangun,” kata Amnesty. – AFP, 27 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen