SEKURANG-kurangnya 10 orang maut dan hampir 48,000 orang kehilangan tempat tinggal apabila taufan Batsirai melanda Madagascar, kata agensi pengurusan bencana negara pada Ahad.
Taufan itu kemudiannya menjadi lemah selepas membadai negara pulau yang terletak di Lautan Hindi
Awal tahun ini negara berkenaan turut berdepan ribut tropika yang membawa maut.
Sebahagian daripada negara itu dilanda hujan lebat dan angin sebelum taufan itu membadai di Mananjary.
Ia menyebabkan pokok tumbang, memusnahkan bangunan dan memaksa penduduk menahan bumbung rumah dengan besi di sepanjang laluannya bagi mengelakkan ia diterbangkan angin, kata wartawan AFP yang berada di tempat kejadian.
Pejabat meteorologi Madagascar pada Ahad berkata hujan akan menyebabkan banjir di seluruh bahagian negara.
Batsirai yang tiba ke negara itu pada lewat Sabtu disifatkan sebagai siklon tropika yang kuat, membawa angin berkelajuan 165 kilometer (102 batu) sejam, kata Faly Aritiana Fabien dari agensi pengurusan bencana negara itu kepada AFP.
Rakan sekerjanya yang bertanggungjawab untuk pengurusan risiko, Paolo Emilio Raholinarivo, menyenaraikan 10 kematian, namun tidak memberikan butiran lanjut.
Bagaimanapun menurut pejabat meteorologi negara berkenaan, Batsirai sudah pun lemah selepas melanda negara itu. – AFP, 7 Februari, 2022.
Komen