Belum ada pendakwaan syariah terhadap wanita dalam kes kelab komedi


WANITA yang didakwa menghina Islam di sebuah kelab komedi, Siti Nuramira Abdullah, tidak akan didakwa hari ini di mahkamah syariah, kata peguamnya.

Sebelum ini dilaporkan Siti Nuramira boleh didakwa hari ini selepas ditahan pihak berkuasa agama semalam.

Peguam R. Sivaraj dalam satu kenyataan berkata, Siti Nuramira dibebaskan pada pukul 10 malam semalam oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

“Kami dimaklumkan oleh pegawai Jawi kira-kira jam 10 malam tadi bahawa Siti Nuramira akan dibebaskan serta merta dengan jaminan Jawi,” katanya.

Seorang lagi peguam, Hannann Syoffeeya Zainal Shahrir berkata anak guam mereka akan dimaklumkan kemudian bila akan menghadapi pertuduhan syariah.

“Jawi tidak akan meneruskan pertuduhan yang sepatutnya di mahkamah syariah hari ini,” kata Hannann Syoffeeya, sambil menambah bahawa beliau dimaklumkan Jawi akan menghubungi anak guam mereka apabila mereka bersedia untuk berbuat demikian.

Minggu lalu Siti Nuramira didakwa di mahkamah majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan menyebabkan ketidakharmonian dalam kalangan masyarakat Islam.

Siti Nuramira didakwa atas perbuatannya yang menyinggung dalam menanggalkan tudung dan baju kurungnya hingga mendedahkan skirt mini dan berbaju tali halus sambil memberitahu penonton dia seorang Muslim yang telah menghafaz 15 juzuk al-Quran.

Pasangannya Alexander Navin Vijayachandran pula didakwa di Petaling Jaya kerana memuat naik kandungan menghina dengan menyiarkan video persembahan Siti Nuramira di internet.

Pasangan itu meminta dibicarakan atas pertuduhan mereka.

Semalam, Siti Nuramira ditahan oleh pegawai Jawi selepas membayar jaminan RM20,000 bagi kes jenayah itu.

Persembahan Siti Nuramira adalah pada sesi persembahan terbuka di Kelab Komedi Crackhouse pada 4 Jun, manakala klip videonya disiarkan pada 16 Jun. – 20 Julai, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen