Wanita hina Islam di kelab komedi akan didakwa di mahkamah syariah


Noel Achariam

Siti Nuramira Abdullah, 26, yang didakwa menghina Islam dalam sebuah persembahan lawak di kelab komedi minggu lalu, dijangka didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah esok. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Julai, 2022.

SITI Nuramira Abdullah, 26, yang didakwa menghina Islam dalam sebuah persembahan lawak di kelab komedi minggu lalu, dijangka didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah esok, lapor New Straits Times.

Dia ditahan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) selepas dibebaskan polis hari ini.

Peguam Ramesh N.P. Chandran dan R. Sivaraj mengesahkan penahanan itu selepas Siti Nuramira membayar ikat jamin RM20,000 di Mahkamah Sesyen hari ini.

Kumpulan peguam Lawyers for Liberty memberikan wang ikat jamin RM40,000 kepada Siti Nuramira dan teman lelakinya Navin Vijayachandran yang juga didakwa.

Sebelum ini tular video Siti Nuramira melakukan persembahan dengan membuka tudung serta menanggalkan baju kurungnya untuk mendedahkan singlet dan skirt mini yang dipakainya, selepas memberitahu penonton dia seorang Islam dan menghafal 15 juzuk Al-Quran.

Dia didakwa mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana menghina Islam.

Alexander didakwa mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana memuat naik kandungan menghina, menerusi video persembahan Siti Nuramira di Internet.

Pasangan itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu.

Siti Nuramira membuat persembahan itu di Crackhouse Comedy Club pada 4 Jun dan klip videonya dimuat naik pada 16 Jun. – 19 Julai, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen