Komedi untuk hiburan, bukan menghina, kata pelawak


Elill Easwaran

Pelawak terkenal negara Harith Iskander Musa berkata berdasarkan pengalamannya tidak ada cara tepat untuk tahu bagaimana seseorang penonton itu akan bertindak balas terhadap lawak jenaka. – Gambar Facebook, 19 Julai, 2022.

PELAWAK-PELAWAK Malaysia menegaskan jenaka bertujuan untuk menghiburkan, bukannya untuk menghina, kata mereka sebagai respons kontroversi seorang wanita didakwa menghina Islam di sebuah kelab komedi baru-baru ini.

Bercakap kepada The Malaysian Insight, mereka berkata tujuan komedi penonton bergelak ketawa, namun bukan semua orang ada selera jenaka yang sama.

“Selalunya penghinaan itu diterima, bukan diberikan. Kebanyakan pelawak, termasuk saya sendiri, tidak pernah berniat untuk menghina,” kata pelawak dan pelakon, Harith Iskander Musa kepada The Malaysian Insight.

“Yang saya boleh cakap, tengok pada niat, bukannya ‘perasaan’ penonton,” katanya yang pernah dinobatkan sebagai manusia paling lawak di dunia pada 2016.

Berdasarkan pengalamannya, Harith berkata tidak ada cara tepat untuk tahu bagaimana seseorang penonton itu akan bertindak balas terhadap lawak jenaka.

“Ini antara perkara yang tidak sepatutnya jadi isu, untuk tukar bahan jenaka supaya orang tidak tersinggung,” katanya.

Harith berkata demikian sebagai mengulas kejadian minggu lepas apabila Crackhouse Comedy Club di Taman Tun Dr Ismail diarah tutup sementara oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Penutupan itu dibuat sejurus selepas kontroversi seorang wanita membuat persembahan dengan menanggalkan baju kurung dan tudungnya bagi mendedahkan skirt mini dan baju pendeknya.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Jalaluddin Alias ​​berkata keputusan menutup kelab itu antara lain untuk memberitahu yang kementerian dan DBKL tidak bertolak ansur dengan tingkah laku yang tidak menghormati sensitiviti agama, bangsa atau kedaulatan.

Turut didedahkan wanita itu dan teman lelakinya pernah buat hal di Merdekarya sebelum kontroversi di Crackhouse Comedy Club.

DBKL mengarahkan Crackhouse Comedy Club ditutup sejurus selepas kontroversi seorang wanita membuat persembahan dengan menanggalkan baju kurung dan tudungnya bagi mendedahkan skirt mini dan baju pendeknya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Julai, 2022.

Harith bagaimanapun berkata kejadian tersebut tidak akan menutup rezeki pelawak lain.

“Saya tidak percaya ‘platform’ ini akan dilihat sebagai masalah,” katanya.

“Saya percaya orang ramai dan pihak berkuasa Malaysia boleh membezakan antara apa yang dilakukan oleh individu (seperti wanita yang menanggalkan tudungnya di atas pentas) dan bagaimana mereka perlu bertanggungjawab atas tindakan mereka.”

Harith turut yakin yang kontroversi itu bukan melemahkan komuniti komedi, malah akan lebih memperkasakannya.

“Kita bercakap tentang langkah untuk tangani isu ini selain mewujudkan pandangan yang betul tentang apa yang kami buat kepada orang ramai.

“Ia pengajaran berharga bukan sahaja untuk pelawak tetapi juga peluang untuk kita belajar serta mendidik orang lain tentang apa yang sebenarnya kita, sebagai pelawak, lakukan,” katanya.

Seorang lagi pelawak, Phoon Chi Ho, turut berkata insiden tersebut tidak akan menamatkan babak komedi berdiri di Malaysia.

“Komedi berdiri adalah bentuk seni yang diterima di peringkat antarabangsa dan ia kemahiran yang boleh dibawa ke mana-mana sahaja,” kata Phoon.

“Walaupun berlaku kejadian seperti itu, penonton kami tidak akan lari kerana mereka faham bentuk seni kami,” kata Phoon yang merupakan naib juara dalam Gelak Gempak 2021 Astro.

Bagaimanapun beliau berkata tidak ada jawapan bagaimana seorang pelawak menentukan sama ada jenaka itu menyinggung perasaan atau tidak.

“Saya sudah beritahu jenaka yang sama kepada orang ramai yang berbeza dan mereka semua bertindak balas secara berbeza.

“Apabila saya baru menapak lebih sedekad yang lalu, kami tidak lalui perkara sedemikian. Hari ini, beberapa rakan komedi saya dapat kritikan kerana jenaka yang mereka ceritakan selama lebih sedekad. Jadi, persoalannya, kenapa sekarang?,” katanya.

Pelawak Phoon Chi Ho berkata insiden seorang perempuan buka baju untuk menunjukkan skirt mini dan baju singkatnya ketika persembahan di Crackhouse Comedy Club itu tidak akan menamatkan babak komedi berdiri di Malaysia.  – Gambar Facebook, 19 Julai, 2022.

Dalam masa sama beliau akui ini adalah masa yang bahaya buat pelawak, terutama selepas kejadian yang berlaku di Crackhouse.

“Untuk komedi di Malaysia, ini sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Sebaliknya, komedi berdiri akhirnya disedari oleh pihak yang kami mahukan - media,” kata Phoon.

Ketika ditanya sama ada adegan komedi di Malaysia akan pulih daripada insiden ini, Phoon berkata mereka hanya perlu redah sahaja.

“Itu sifat jenaka dan komedi berdiri. Kita tidak berhenti.

Tambahnya, pelawak ada banyak jenaka mesra keluarga dan bersih yang boleh dinikmati rakyat.

Preshant Menon, 26, yang telah menjadi pelawak selama tujuh tahun juga berkata insiden di Crackhouse adalah mesej besar kepada semua penghibur bebas, untuk mengambil kira apa yang mereka katakan di atas pentas, kerana ia mewakili masyarakat.

Preshant berkata sebagai pelawak apa yang mereka cuba lakukan adalah untuk menjadi lucu.

“Dan kami akan buat hampir apa sahaja. Bercakap tentang hampir semua perkara dan ketawa. Dan kami cukup fasih untuk cuba bahan-bahan ini di kelab komedi, yang sudah jadi seperti tempat keagamaan bagi pelawak seperti kami.

“Kami tidak akan guna sebarang bahan yang ‘menyinggung’ pada majlis makan malam atau acara korporat,” kata Preshant yang juga seorang pengacara majlis dan pemilik syarikat acara.

Preshant juga berpendapat Malaysia semakin matang dari segi penerimaan komedi.

“Perkara seperti ini datang dan akan muncul semula pada masa hadapan. Saya harap ia akan menjadikan komedi lebih bagus.

“Apa-apa pun, ia membuatkan komedi berdiri agak tular di Malaysia minggu lalu,” kata Preshant yang juga pernah membuat persembahan di Crackhouse Comedy Club.

Pelawak Preshant Menon menegaskan mereka yang kini menyerang pelawak atas kejadian minggu lepas perlu faham individu yang membuat kontroversi itu bukanlah pelawak. – Gambar tangkap layar video, 19 Julai, 2022.

Beliau menegaskan mereka yang kini menyerang pelawak atas kejadian minggu lepas perlu faham individu yang membuat kontroversi itu bukanlah pelawak.

“Dia bukan pelawak biasa di kelab. Oleh itu, jangan tergesa-gesa sama ratakan semua pelawak,” kata Preshant.

“Selain itu, persembahannya langsung tidak lawak. Jadi orang ramai perlu cuba tengok rancangan komedi lain yang sesuai sebelum mereka mula menilai kami,” katanya.

Rabu lepas, Siti Nuramira Abdullah, 26, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan menghina Islam semasa persembahannya di Crackhouse Comedy Club.

Dia didakwa mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan.

Teman lelakinya Alexander Navin Vijayachandran turut didakwa di mahkamah berasingan di Petaling Jaya mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana salah guna kemudahan telekomunikasi.

Pasangan itu dibebaskan dengan ikat jamin semalam selepas mengumpul RM40,000 melalui sumbangan dana awam anjuran kumpulan peguam Lawyers for Liberty (LFL). – 19 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen