Merdekarya jadi sasaran sebelum buat hal di Crackhouse Comedy Club


DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dianggap terpedaya dengan mainan pencetus masalah apabila menggantung Crackhouse Comedy Club, kata pengasas Merdekarya Brian Gomez.

“Oleh itu, kami menggesa DBKL membatalkan penggantungan mereka atau menukar nama mereka kepada jabatan untuk melaksanakan pelan pemujaan seks Amy dan Alex,” kata Gomez dalam catatan Facebook hari ini.

Menurut Gomez, pasangan itu pernah melepak di Merdekarya pada 2015 dan mereka membuat gangguan.

“Ia sampai ke satu tahap yang mana salah seorang pelanggan kami mahu membelasah Alex. Oleh itu, kami menyuruh mereka berubah atau menjauhi Merdekarya. Mereka memilih untuk melangkah pergi.”

Namun Gomez berkata, lelaki yang dikenali sebagai “Alex” itu kembali ke Merdekarya bersama “isterinya”, Amy, baru-baru ini dan mencadangkan untuk menganjurkan bengkel seks.

“Mereka berkata ia akan membabitkan stand-up comedy dan persembahan oleh Alleycats. Tetapi kerana fikiran dan jiwa yang waras, Merdekarya menolak mereka kerana ia bukan tempat untuk pesta seks.”

Gomez berkata, kedua-duanya pergi tanpa membayar bil mereka dan kemudian mengancam untuk membakar Merdekarya.

“Selama lima hari berturut-turut, mereka menghantar ugutan bunuh dan mengugut untuk membakar premis kami melalui WhatsApp dan media sosial. Ramai pelanggan kami juga menerima ancaman sama.”

Beliau berkata, Merdekarya membuat laporan polis dan “Alex” kemudiannya ditangkap dan didakwa.

“Dia mengaku bersalah dan dibebaskan selepas membayar denda RM100.”

Beliau berkata, kedua-duanya juga menuduh Merdekarya memperdaya umat Islam untuk memakan daging babi.

“Apa yang berlaku kepada Crackhouse Comedy Club mungkin juga boleh berlaku di Merdekarya.

“Tetapi Crackhouse Comedy Club tidak mengenali mereka sebaik kami dan oleh itu tidak dapat menjangkakan apa yang mereka akan lakukan.

“Apa yang jelas kedua-dua mereka bukan pelawak tetapi hanya menggunakan tempat kami untuk mempromosikan aktiviti pesta seks mereka,” kata Gomez.

Crackhouse Comedy Club di Taman Tun Dr Ismail diarah tutup sementara oleh DBKL semalam, susulan insiden kontroversi apabila seorang wanita membuat persembahan semasa sesi terbuka dengan menanggalkan pakaian luar dan tudungnya hingga menampakkan skirt mini.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Jalaluddin Alias ​​berkata, keputusan menutup kelab itu adalah sebagai peringatan kementerian dan DBKL tidak akan bertolak ansur dengan tingkah laku yang tidak menghormati sensitiviti agama, bangsa atau kedaulatan.

Sejak itu, wanita yang didakwa menghina agama Islam ketika menanggalkan pakaian di pertunjukan terbuka itu ditahan polis di Taman Jaya, Jalan Gasing sekitar jam 10 malam tadi. – 11 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen