Jawi benarkan jarak fizikal antara jemaah dikurang kepada 1 meter


Mulai waktu Maghrib hari ini, jarak antara jemaah di masjid dan surau di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan dikurangkan kepada 1 meter.– Gambar fail The Malaysian Insight, 4 November, 2021.

JABATAN Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) membuat beberapa ketetapan baharu berhubung aktiviti pengimarahan di masjid dan surau di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, termasuk penjarakan fizikal antara jemaah dikurangkan daripada 1.5 meter kepada satu meter. 

Pengarah Jawi Mohd Ajib Ismail berkata ketetapan berkenaan berkuat kuasa bermula waktu Maghrib hari ini dan perkara berkenaan telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ajib berkata selain itu, kanak-kanak berumur 12 tahun ke atas serta warganegara asing yang mendapat vaksin lengkap turut dibenarkan menunaikan solat berjemaah di masjid dan surau.

“Dibenarkan kepada murid tadika dan Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) untuk menghadiri kelas pengajian yang beroperasi dalam premis masjid dan surau berpandukan Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah.

“Dibenarkan majlis sosial seperti kenduri, majlis sambutan perayaan, majlis perkahwinan, majlis aqiqah serta lain-lain majlis sosial untuk diadakan di dewan masjid dan surau bagi individu yang lengkap menerima vaksin dengan 50% kapasiti ruang dan penjarakan fizikal,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata kesemua kebenaran berkenaan tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan selaras dengan nasihat Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara. 

“Semoga lebih ramai jemaah dapat mengimarahkan masjid dan surau di Wilayah-Wilayah Persekutuan,” tambahnya. – Bernama, 4 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen