DI BRADFORD, England, sekumpulan penduduk tempatan tiba di dapur amal untuk mengambil bungkusan makanan yang digambarkan mereka sebagai “penyelamat” ketika krisis kos sara hidup terburuk negara itu makin meruncing.
Bradford Central Foodbank kini membantu dua kali ganda lebih ramai orang berbanding sebelum pandemik, berikutan kenaikan harga tenaga, makanan dan asas lain menyebabkan semakin ramai rakyat Britain bergelut.
“Jumlah sejak saya jadi sukarelawan berlipat kali ganda. Saya cuma nampak keadaan makin teruk,” kata Karl Carroll, 33, yang bergantung pada bungkusan itu sejak 2019 dan kini menjadi sukarelawan di dapur amal.
“Susah saya nak dapat £40 (AS$50), jadi saya bayangkan banyak keluarga sedang bergelut,” katanya kepada AFP.
Simon Jackson, 43, seorang bekas pekerja pasar raya yang menganggur yang mengakses subsidi sakit kerajaan jangka panjang, telah menjadi pengguna bank makanan sejak Februari.
“Waktu ini keadaan sangat susah… kos sara hidup melambung tinggi sampai kita terpaksa harapkan bank makanan,” katanya.
Jackson ketika ini mendapat kira-kira £900 sebulan dalam pelbagai pembayaran melalui bantuan kerajaan, namun seperti Carroll, selepas segala bilnya dibayar, cuma tinggal sedikit sahaja baki untuk makan.
Kenaikan harga semakin memburukkan lagi keadaan. – AFP, 29 Mei, 2022.
Komen