Keluarga diraja British akan bertemu bincang krisis Putera Harry-Meghan


Keluarga diraja British kini berdepan krisis selepas Putera Harry dan Meghan memutuskan untuk berundur selaku ahli kanan keluarga itu. – Gambar AFP, 12 Januari, 2020.

RATU Elizabeth II akan mengadakan pertemuan tergempar dengan Putera Harry pada Isnin dalam usaha menyelesaikan krisis terbaru keluarga diraja susulan pengumuman mengejutkan dibuat Harry dan isterinya Meghan untuk berundur selaku ahli kanan keluarga diraja itu.

Ahli kanan keluarga diraja lain termasuklah ayahnda Harry, Putera Charles dan kekandanya, Putera William yang hubungan mereka dilaporkan tegang, akan menyertai mesyuarat itu yang akan diadakan di kediaman peribadi Bonda Ratu di Sandringham, timur Englad, menurut media British.

Meghan akan menyertai mesyuarat menerusi sidang video dari Kanada ketika keluarga diraja berusaha mencari “jalan seterusnya” untuk bertolak ansur dan mengatasi krisis yang baharu bermula itu.

Antara isu yang akan dibincangkan termasuklah jumlah wang yang akan diterima Harry dan Meghan daripada aset Charles, gelaran kehormat diraja mereka dan perjanjian komersial yang boleh ditandatangani pasangan itu, menurut Sunday Times.

Harry, Meghan dan putera mereka, Archie meraikan Krismas di Kanada sebelum ini. Meghan sudah pulang ke Kanada minggu ini.

Bonda Ratu pada Khamis lalu menuntut kakitangan Harry dan Meghan mencari “penyelesaian segera” yang mengambil kira desakan pasangan itu untuk lebih bebas.

Beberapa media Kanada melaporkan Meghan sudah kembali ke Vancouever, di mana keluarganya menghabiskan cuti hujung tahun dan Archie tinggal bersama pengasuhnya.

Keluarga diraja dikejutkan dengan pengumuman Rabu lalu apabila Duke dan Duchess of Sussex mahu mencari “peranan baharu yang progresif” dan membahagikan masa mereka antara Britain dan Amerika Utara.

Pejabat Ratu mengeluarkan kenyataan keras petang hari sama, berkata “wujud isu rumit yang memerlukan masa untuk diselesaikan.”

Harry dan Meghan berkata mereka akan terus “menyokong sepenuhnya” Ratu dan “bekerjasama” dengan keluarga diraja.

Mereka juga mahu mengekalkan kediaman mereka di Istana Windsor di Britain, dan pada masa yang sama lebih bebas secara kewangan.

Putera Harry yang dilaporkan bergelut dengan kehidupan baharunya mengaku yang hubungannya dengan kekandangnya, William, renggang kerana mereka mempunyai jalan kehidupan berbeza.

Harry juga lebih terbuka dengan masalah kesihatan mental dihadapinya serta bagaimana baginda dan Meghan bergelut dengan tumpuan media selepas berkahwin pada Mei 2018 dan kelahiran Putera Archie.

Pasangan diraja itu juga mengecam keras liputan media diberikan kepada mereka, sebilangan yang disifatkan Harry sebagai perkauman kerana Meghan yang berdarah kacukan. – AFP, 12 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen