PUTRAJAYA mesti menjelaskan kenapa ia membayar bayaran khas tahunan kepada Kedah, kata P Ramasamy, ketika isu pajakan Pulau Pinang oleh British pada 1786 sekali lagi berbangkit minggu ini.
Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang berkata Putrajaya mesti menjelaskan asas pembayaran berkenaan.
“Adakah kerana Kedah ada hak kedaulatan ke atas Pulau Pinang atau bayaran khas itu untuk membantu Kedah dari segi kewangan?
“Sekiranya kerajaan persekutuan fikir Pulau Pinang adalah bekas negeri lindungan Kedah, maknanya ada sesuatu yang sangat tidak kena,” kata pemimpin DAP itu, yang juga bekas pensyarah.
Jelas Ramasamy, kerajaan persekutuan tidak harus memutarbelitkan fakta sejarah untuk menyenangkan hati kerajaan Kedah.
Isu bayaran pajakan itu timbul semula selepas Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor menuntut ia disemak semula berdasarkan nilaian semasa.
Beliau menuntut Putrajaya membayar royalti pajakan Pulau Pinang sebanyak RM100 juta kerana ia tidak pernah dinilai semula sejak 1786.
Pada masa ini Kedah menerima bayaran khas RM10 juta setahun sejak 2018 dan royalti RM10,000 setahun, katanya.
Sanusi membangkitkan soal bayaran pajakan itu menjelang pembentangan Belanjawan 2022, yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz di Dewan Rakyat, Jumaat lepas.
Ahli sejarah Ahmad Murad Merican bagaimanapun dipetik berkata tiada sebarang dokumen atau perjanjian pembayaran royalti antara Pulau Pinang dan Kedah pada 1786.
Pensyarah di Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC) berkata perjanjian pajakan itu adalah mitos, sementara dokumen yang ada hanyalah cebisan perbincangan antara Sultan Abdullah Mukarram Shah dan Francis Light mengenainya.
Dalam pada itu, Ramasamy menyelar Sanusi kerana menjemput sejarawan, ahli akademik dan lain-lain untuk membuktikan Pulau Pinang dipajak daripada Kedah oleh British.
Katanya, kaedah untuk membuktikan perkara itu sangat subjektif kerana Sanusi hanya mahu kumpulan pakar ini mengesahkan pandangannya.
Menurut Ramasamy, untuk mengesahkan perkara itu, antara isu yang perlu diputuskan ialah sama ada Kesultanan Kedah mempunyai kedaulatan ke atas Pulau Pinang pada masa berkenaan.
“Sejarah menunjukkan bahawa Kedah adalah negeri lindungan Siam. Pulau Pinang adalah negeri lindungan Siam dan bukannya Kedah.
“Kalau itu keadaannya, bagaimana Kedah boleh kata ia ada kedaulatan ke atas Pulau Pinang?”
Kedah juga menyerahkan Pulau Pinang kepada British untuk mendapatkan perlindungan daripada Siam, katanya.
Usaha Kedah untuk mendapatkan semula Pulau Pinang daripada British tidak berjaya kerana kekuatan kuasa ketenteraan penjajah itu, tambahnya. – 31 Oktober, 2021.
Komen