Mengenang 9 Mei 2018: Mengatasi kemustahilan, mendepani penyesalan


Izmil Amri

KITA berjaga sejak pagi 9 haribulan, sampai ke pagi esoknya, 10 Mei 2018.

Semua orang ada kenangan masing-masing. Yang berjasa, yang bekerja, yang duduk perhati saja. Semua orang terkenang, dan rasa macam best. “We did it,” kata kita, setelah melakukan sesuatu yang ramai orang kata mustahil dilakukan.

Memori saya tentang 9 Mei 2018 dan hari-hari yang menyusul penuh kecelaruan. Tidak seperti yang lain, rasanya seolah-olah saya langsung tidak menyumbang apa-apa ke arah kemenangan pada ketika itu.

Hatta tiada ingatan saya tentang apa yang dilakukan sepanjang tempoh kempen, barangkali kerana saya memang tidak buat apa-apa sangat. Tidak seperti orang lain.

Saya bergegas pulang ke Kuala Lumpur pada petang Sabtu, setelah berasa serba tak kena duduk di Pulau Pinang; terlepas daripada segala aksi yang berlaku di hotel Sheraton.

Setibanya di Subang, saya terus ke Amcorp, mencari Isham Rais di kafe berdepan bilik sidang media PPBM, bertanya apa yang perlu dibuat seterusnya. 

Di tingkat-tingkat lebih atas di bangunan itu, orang politik dikhabarkan sedang berbalah berebut siapa patut jadi menteri. Suka betul nampaknya mereka. Seolah-olah pasti bahawa mereka akan jadi kerajaan selama-lamanya.

Celaru saya bermula di situ. Hatta setelah memberi nama untuk menawarkan khidmat jika diperlukan, rasa tidak selesa membuatkan niat itu dibatalkan. Biar duduk di belakang-belakang sahaja tak apa. 

Emosi bercampur-campur ini membawa sampai ke sekarang. Dan tanpa prejudis kepada siapa-siapa; kalau boleh, tak jadi kerajaan semula pun tidak mengapa.

Sejak catatan ini ditulis dua tahun lalu, sehingga hari ini; pendirian ini belum banyak berubah.

Cenderung rosak

“Power corrupts,” kata orang. Tapi kita sebenarnya sukar menangkap apa maksud ‘korup’ ini. Korupsi melampaui rasuah. Korupsi ialah kerosakan nilai, yang menjadikan seorang individu cenderung menjual harga diri demi memuaskan satu gaya hidup. 

Orang jadi korup bukan hanya kerana rasuah. Orang malah jadi korup kerana terpedaya dengan kuasa dan pengaruh yang ia miliki.

Ini masalah besar apabila menjadi kerajaan dan diuji dengan kuasa, kedudukan dan pengaruh. Tanpa sedar, kita terdedah kepada godaan yang datang dari pelbagai arah. 

“Saya ada idea,” contohnya. “Idea ni kalau dilaksanakan, boleh buat duit juga. Nanti kita bahagi la sorang sikit.” Siapa lagi yang datang dengan ‘idea’ ini selain si bijak pandai yang sudah terbiasa buat duit daripada orang politik.

9 Mei 2018 membuka ruang seluas-luasnya kepada golongan ini untuk menempel, bermanja dan menggoda; demi mendapatkan apa yang mereka mahu.

“Bagi peluang kepada kawan-kawan”, “Orang kita takkan tak dapat apa-apa?” dan “Tak boleh tolong adjust ka?” adalah antara ayat yang buat rasa nak muntah.

Di sinilah juga kita berkenalan dengan benda yang dipanggil ‘The Deep State’. Daulah Terpendam. Gerombolan manusia yang menggoda kecurangan idea dan prinsip dengan kekayaan duniawi.

Yang tak terlibat tapi mengaut laba

Daulah Terpendam ini bukan komuniti intelijen, SB, AIO, BSPP, MEIO, segala macam. Daulah Terpendam adalah lingkungan yang mendapat manfaat daripada kerajaan, tanpa perlu dilantik menganggotai kerajaan. 

Daulah Terpendam wujud dalam sistem cukong, sistem perolehan, sistem meluluskan tender, sistem memberi pinjam wang, dan lebih penting lagi, sistem pentadbiran yang tidak berpartisipasi dalam demokrasi.

Daulah Terpendamlah yang memberi lampu hijau kepada segala-galanya, dan ahli-ahli politik hanyalah buah catur mereka.

Berdepan Daulah Terpendam ini, Pakatan Harapan (PH) yang dahulunya pembangkang dan tidak biasa dengan langkah, bunga serta buah permainan mereka, sekadar diperkotak-katik.

Sudahnya digulingkan apabila kepentingan mereka tidak dijaga.

9 Mei 2018 tidak mengubah sistem Daulah Terpendam ini. Lagipun kerajaan PH dilihat hanya berminat dengan benda-benda kosmetik.

Benda yang tak boleh digaul dengan nasi. Naratif perubahan justeru menjadi kaku, dan menjadi cerita yang hanya boleh dijual kepada orang yang rajin baca buku. Selebihnya tak peduli barang sedikit pun.

Hilang gatal

Orang masuk politik kerana banyak sebab; kuasa, pengaruh, duit pastinya sebab-sebab utama.

Ada juga yang terjun jadi aktivis politik kerana dia ada idea, dan mahu melihat masyarakat ikut percaya dengan idea itu. Pun begitu ada ramai juga yang masuk politik kerana gatal. Gatal yang tak boleh digaru dengan cara konvensional.

Pada 9 Mei 2018, gatal tu hilang setelah Umno melingkup, dan saya jadi hilang punca. Sejak berkecimpung dalam dunia perdebatan politik selepas disuruh padam bendera PAS yang dilukis di papan hitam bilik darjah, tujuan hidup saya (meski selalu berubah) adalah untuk melihat kekalahan Umno. 

Namun ternyata hari ini, Umno tidak hancur. Seperti sebuah tandas meletup; mangkuk jamban tak nampak rupa, tapi tahinya terpalit merata. Jadi kerja pula nak kena basuh.

Membasuh dan membina semula jamban (maaf tak ada analogi elok sikit) adalah bukan kerja senang. Tak ada manusia yang sanggup pikul beban membaiki jamban meletup.

Namun tugas itu masih perlu dilakukan, meski terus digagalkan berkali-kali.

Gerombolan idealis selalu melihat 9 Mei 2018 sebagai satu titik perubahan dalam demokrasi negara. Namun hakikatnya para penggiat Daulah Terpendam pula melihatnya sebagai sekadar perubahan pihak pengurusan.

Business as usual bagi mereka, sambil terus mencuba untuk menyesuaikan diri dengan pihak pengurusan baharu.

Rakyat yang tidak ikut bergulat pula sebenarnya tidak begitu banyak terkesan, kerana mereka pun ada masalah-masalah harian yang perlu diuruskan. Rakyat sebenarnya tidak peduli tentang idea yang kononnya diperjuangkan. Malah sebenarnya manifesto PH pun mereka tak baca.

Setelah dicurangi

Ya, kuasa telah dicuri, pengkhianatan telah terjadi. Tetapi, seriuslah, berapa peratus sebenarnya orang kebanyakan yang peduli?

Ketidakpedulian itu adalah kerana kegagalan membina jalan cerita dan menyampaikan cerita itu kepada orang ramai di luar lingkungan kita yang hari-hari kerjanya bersembang politik macam tak ada cerita lain boleh ditonton di Netflix. 

Berapa kali mesti diulang, berdepan pertembungan akal dan hati; akal tidak kerap menang, malah lebih selalu kalah.

Hakikatnya Umno dan gerombolan Perikatan Nasional akan terus laku, tidak kiralah betapa tak berguna dan sampahnya gabungan aneh ini, kerana ia menjual nasionalisme yang dibungkus cantik dengan kain agama dan beralas pemikiran bangsa.

Produk yang sama tidak boleh dijual PH dalam pasaran ini. Tak ada orang mahu beli.

Tidak mungkin parti-parti yang ada akan boleh kelihatan lebih Islam daripada PAS, lebih Melayu daripada Umno dan lebih mengelirukan daripada apa saki baki parti politik yang entah apa pegangan dasarnya.

Alang-alang mengenang 9 Mei, marilah kita merangkul hakikat bahawa rakyat tidak sepenuhnya menang pada 9 Mei 2018.

Umno kalah, dan kini ia telah kembali, nampaknya dengan keyakinan diri yang lebih tinggi berbanding dulu. 

Apa kita nak buat jika sungguh Parlimen bubar sekitar Ogos nanti? Bincangkan. 25 markah. – 10 Mei, 2022.

* Izmil Amri, berasal dari Pulau Pinang dan sering gagal dalam banyak hal. Kini seorang pemerhati politik yang sedang cuba untuk kurangkan makan nasi kandar. Berkicau di @The_Mamu

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen