Dakwaan daulah terpendam dalam kerajaan disiasat, kata PM


Zaim Ibrahim

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau mahu melihat semula apa sebab mereka dipindahkan dari kementerian lama ke kementerian yang lain.– Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Disember, 2019.

DR Mahathir Mohamad mahu mendapatkan maklumat lanjut mengenai dakwaan wujudnya daulah terpendam atau elemen sabotaj dalam pentadbiran awam, sehingga menjejaskan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan.

Beliau yakin isu itu akan dapat ditangani oleh kerajaan sekiranya ia benar-benar berlaku seperti didakwa.

“Saya tak tahu (ada daulah terpendam). Dendam memang ada (dalam kalangan penjawab awat) . Saya ingat kita boleh bendung… tak ada masalah,” katanya

“Dulu pun masa jadi Perdana Menteri ada banyak masalah tetapi kita boleh terus mentadbir… kita akan selesaikan dengan depa itu saya kaji tengok dulu,” katanya kepada wartawan di Langkawi.

Perdana Menteri berada di kawasan parlimennya hari ini untuk satu program ramah mesra bersama ketua-ketua jabatan dan pemimpin PH.

Isu tukar KSU dikaji semula

Ditanya sama ada pertukaran Ketua Setiausaha Kementerian (KSU) Pertanian dan Industri Asas Tani Mohd Sallehhuddin Hassan kerana daulah terpendam, Dr Mahathir berkata beliau tidak pasti dan akan mendapatkan maklumat mengenai perkara itu.

Katanya, beliau mahu melihat semula apa sebab mereka dipindahkan dari kementerian lama ke kementerian yang lain.

“Saya akan kaji, tengok apa sebab,” katanya ringkas.

The Malaysian Insight sebelum ini melaporkan pelbagai pandangan mengenai wujudnya “daulah terpendam” dalam perkhidmatan awam serta dakwaan amalan sabotaj oleh mereka yang masih setia kepada kerajaan Barisan Nasional (BN).

Beberapa menteri menyalahkan daulah terpendam kerana menjejaskan beberapa perancangan kerajaan.

Namun tidak jelas apakah daulah terpendam ini sebuah gerakan yang tersusun untuk menggagalkan kerajaan PH atau hanya kakitangan awam yang tidak dapat menyesuaikan diri kepada, dalam banyak keadaan, menteri yang tidak berpengalaman.

Kabinet difahamkan sudah membincangkan isu daulah terpendam, sementara beberapa langkah sedang dan telah diambil termasuk memindahkan beberapa KSU dan pegawai kanan. – 8 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen