Daulah terpendam bukan budaya perkhidmatan awam


MUTAKHIR ini istilah daulah terpendam atau deep state semakin menjadi perbualan hangat dalam kalangan anggota masyarakat.

Dalam konteks semasa daulah terpendam ini dikaitkan dengan pandangan, persepsi, tanggapan dan juga tuduhan terhadap segelintir penjawat awam yang dikatakan tidak berpuas hati serta cuba mensabotaj kerajaan di peringkat kementerian dan jabatan atau agensi kerajaan yang tertentu.

Walaupun belum terbukti secara sahih perkara ini benar-benar berlaku namun corakan naratif ini sudah pun mengundang persepsi dan tanggapan negatif terhadap penjawat awam kerana ia tersebar luas, umpama virus dan wabak yang sukar dikawal.

Secara umumnya daulah terpendam merupakan terjemahan langsung kepada frasa deep state yang menggambarkan situasi kegagalan pentadbiran awam yang demokratik akibat kewujudan kerajaan dalam kerajaan.

Mengikut tafsiran, kumpulan ini dikatakan mampu mengetepikan keputusan dan kehendak kerajaan semasa dan bertindak sebagai tangan-tangan ghaib bagi melaksanakan polisi dan agenda negara di luar proses pembuatan keputusan oleh kepimpinan kerajaan.

Berdasarkan tafsiran ini adalah cukup berat dan serius jika penjawat awam terus dikaitkan dengan daulah terpendam.

Umum mengetahui penjawat awam adalah nadi pentadbiran kerajaan. Penjawat awamlah yang bertindak sebagai platform penghubung antara rakyat dan kerajaan.

Secara spesifiknya penjawat awam yang bertindak sebagai pendukung dan pelaksana semua dasar, inisiatif, program dan aktiviti yang digariskan oleh kerajaan demi pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat.

Justeru hubungan penjawat awam dengan kerajaan atau pembuat dasar adalah saling bergantung antara satu sama lain bagai aur dengan tebing.

Dalam konteks ini mari kita menghayati titah Timbalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Nazrin Muizzuddin Shah betapa jalinan kerjasama dan persefahaman saling diperlukan antara penjawat awam dan pimpinan politik dalam memastikan kesejahteraan dan kemakmuran serta kejayaan negara.

Baginda juga bertitah pimpinan politik dan penjawat awam merupakan dua sayap penting dalam pentadbiran kerajaan. Justeru, jalinan kerjasama dan persefahaman dalam semangat saling menghormati, saling menasihati, saling mempercayai, hendaklah dijadikan budaya kerja antara pimpinan politik dengan penjawat awam.

Jadi tidak boleh ada sebarang masalah dalam perhubungan ini kerana bakal merugikan semua pihak.

Sejak dulu hingga kini hubungan akrab pimpinan politik dan penjawat awam berjaya membangunkan negara dan menyejahterakan rakyat. Buktinya pada hari ini kita terus gah sebagai sebuah negara membangun yang mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara lain termasuk negara maju.

Perkara ini tercatat kemas dalam lipatan sejarah negara ini dan ironinya tiada siapa boleh menafikan sumbangan, komitmen dan keikhlasan para penjawat awam dalam menjalankan amanah selama ini.

Maka ditegaskan daulah terpendam bukanlah budaya dalam perkhidmatan awam, juga bukan prinsip kerja penjawat awam.

Hakikatnya penjawat awam sejak hari pertama dilantik ke dalam perkhidmatan awam sentiasa dididik dan dibimbing supaya melaksanakan tugas dengan jujur, amanah dan bertanggungjawab tanpa sebarang kepentingan politik, berat sebelah atau memihak kepada mana-mana kelompok tertentu.

Dalam konteks ini juga penjawat awam berpegang kukuh kepada prinsip setia dan menyokong semua dasar yang dibawa oleh kerajaan semasa yang memerintah demi kesejahteraan rakyat. Bagi penjawat awam ini perkara ini sudah sangat jelas dan terpateri kemas dalam sanubari masing-masing.

Jadi penulis percaya isu daulah terpendam yang hangat diperkatakan ini lebih kepada mainan persepsi dan tanggapan yang berpunca daripada masalah kelemahan komunikasi serta salah faham antara kedua-dua pihak yang terlibat.

Analogi yang mudah ialah, untuk mewujudkan hubungan kerjasama dan keakraban yang mantap antara seorang ketua yang baru dengan anak buah termasuk pegawai kanan dalam sesebuah organisasi sememangnya memerlukan masa yang lama. Percayalah lama-kelamaan keserasian dan kepercayaan yang dicari itu pasti akan wujud.

Hakikatnya masing-masing ada cara pengurusan dan pentadbiran tersendiri namun kita yakin matlamat dan sasaran mereka tetap sama. Mereka tetap berada dalam satu kapal yang sama, menuju destinasi yang sama serta anak buah sentiasa mengakui dan menerima kenyataan betapa satu kapal hanya boleh ada seorang nakhoda.

Oleh itu adalah kurang bijak jika mana-mana pihak terlalu cepat membuat penilaian dan kesimpulan sekali gus menjatuhkan hukuman bahawa penjawat awam ada daulah terpendam dan cuba mensabotaj kerajaan.

Tindakan yang kurang tepat seperti ini perlu diperbetulkan dengan segera kerana ia bukan saja menjejaskan nama baik perkhidmatan awam, malah mengganggu emosi dan motivasi penjawat awam secara keseluruhannya.

Kita akui penjawat awam juga adalah manusia biasa yang mungkin ada kecenderungan politik masing-masing. Namun percayalah mereka sangat profesional dan neutral dalam menjalankan tugas, memberi nasihat mahupun melindungi kepentingan rakyat dan negara.

Ideologi politik tidak pernah dijadikan paksi untuk membuat keputusan dalam urusan kerja rasmi. Mereka tahu untuk membezakan antara kepentingan peribadi dan kepentingan awam dan sangat menghormati kerajaan yang dipilih oleh rakyat secara demokrasi.

Namun jika betul dan terbukti ada individu penjawat awam yang didapati mengamalkan budaya daulah terpendam seperti diperkatakan kita memohon perkara ini disiasat dengan terperinci dan diambil tindakan tegas. Kita juga tidak mahu kerana nila setitik rosak susu sebelanga.

Sesungguhnya kita sedang mengharungi zaman yang amat sukar untuk membangunkan negara, dan untuk itu kita memerlukan komitmen dan kerjasama semua pihak bagi menangani masalah yang ada seterusnya membina semula negara ini selari dengan hasrat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Pihak kerajaan perlu yakin dan percaya pada penjawat awam dan penjawat awam pula perlu membuktikan kesetiaan dan sikap profesional adalah prinsip kerja dan jati diri yang boleh dibanggakan.

Penulis yakin warga perkhidmatan awam sentiasa bersedia menyokong dasar kerajaan dengan melaksanakan tanggungjawab berteraskan tiga prinsip utama yang digariskan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam iaitu, integriti, speed dan profesionalisme. – 18 Disember, 2019.

* Noor Mohamad Shakil Hameed ialah timbalan pengarah Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen