Hormati pengasingan kuasa ikut Perlembagaan Persekutuan


SAYA meneliti kenyataan balas terkini daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai respon kepada polemik umum bahawa SPRM mempunyai kuasa menyiasat pegawai badan awam termasuk hakim.

Seperti yang diungkitkan oleh beberapa pihak sebelum ini, tindakan SPRM dalam menjalankan siasatan ke atas Hakim Mahkamah Rayuan, Mohd Nazlan Mohd Ghazali adalah bertentangan dengan prinsip pengasingan kuasa yang merupakan struktur asas (basic structure) kepada Perlembagaan Persekutuan.

Seseorang Hakim Mahkamah Persekutuan, Hakim Mahkamah Rayuan, dan Hakim Mahkamah Tinggi dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong (“YDPA”) di bawah Perkara 122B, Perlembagaan Persekutuan.

Sehubungan itu, YDPA menurut kuasanya di bawah Perkara 125(3B) Perlembagaan Persekutuan telah menggubal Kod Etika Hakim 2009 (“Kod”) bagi mengawal tingkah laku Hakim-Hakim dalam dan di luar Mahkamah.

Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan dibaca bersama dengan Kod tersebut selanjutnya memperuntukkan tatacara yang jelas bagi menangani aduan-aduan terhadap seseorang Hakim yang disyaki telah melanggari mana-mana peruntukan di bawah Kod tersebut.

Perenggan 12 Kod tersebut memperuntukkan bahawa apa-apa aduan terhadap seseorang Hakim yang melanggari Kod tersebut hendaklah dibuat secara bertulis kepada Ketua Hakim Negara.

Dengan erti kata lain, Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan mekanisme secara khususnya yang boleh dilaksana oleh badan Kehakiman sendiri dalam menangani aduan terhadap kelakuan seseorang hakim.

Ini adalah penting dalam menegakkan keyakinan orang awam terhadap sistem Kehakiman kita, mempertahankan kesucian kehakiman (judicial sanctity) dan pada masa yang sama, memastikan prinsip pengasingan kuasa dihormati.

Oleh itu, SPRM sepatutnya bertindak dalam kerangka diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan dan Kod tersebut dengan menyalurkan aduan tersebut kepada Ketua Hakim Negara untuk siasatan dan tindakan yang selanjutnya.

Pada masa yang sama, Ketua Pesuruhjaya SPRM seharusnya mengelak daripada membangkitkan siasatan ke atas Hakim di media kerana tindakan sedemikian akan menimbulkan keraguan dan menjejaskan keyakinan orang awam terhadap sistem kehakiman di negara kita, sebelum apa-apa dakwaan dibuktikan terhadap Hakim yang berkenaan. – 1 Mei, 2022.

* Chiew Choon Man, calon exco AMK Malaysia dan Lau Yi Leong, calon Ketua AMK Cabang Batu Pahat 



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen