Ada agenda serang SPRM dan saya, kata Azam Baki


Ketua SPRM Azam Baki berdepan dakwaan korupsi yang mencetuskan protes dan tekanan supaya beliau meletak jawatan dan diheret ke mahkamah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Februari, 2022.

KETUA Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki berkata beliau mungkin mempunyai musuh sepanjang perjuangan 37 tahunnya melawan korupsi yang kini mula menghantuinya.

Dakwanya, beliau menjadi sasaran serangan terancang terhadap badan anti rasuah negara itu.

“Sepanjang 37 tahun sebagai pengawai penguatkuasaan undang-undang, saya telah menahan dan mendakwa ramai orang-politikus, pegawai kerajaan, anggota sindiket, namakan sahaja.

 “Saya jangka ada orang yang marah dengan saya dan mahu langsaikan kesumat,” katanya dipetik akhbar The Star dalam satu wawancara ekslusif.

“Saya percaya yang ada agenda, serangan terancang, untuk memperlekeh SPRM dan ia dilakukan dengan menjadikan saya sebagai sasaran.

“Mereka mahu gambarkan yang jika ketua pesuruhjaya korup, maka pentadbiran negara juga tidak terkawal, lemah dan tidak ada sesiapa yang rakyat boleh harapkan.”

Azam tidak menafikan wujud kemungkinan akan berlaku lagi serangan terhadapnya pada masa hadapan, tetapi menegaskan yang beliau sudah bersedia untuk berdepan dengan cabaran itu.

Katanya lagi, serangan sebegitu tidak boleh dielakkan kerana pekerja dan jawatan disandangnya.

“Saya diberitahu akan ada lagi serangan terhadap saya. Seperti yang saya kata, ini harga yang saya terpaksa bayar,” katanya.

Jelasnya lagi, beliau tidak bercuti sepanjang siasatan walaupun menerima tekanan supaya berbuat demikian kerana siasatan dilakukan agensi lain dan bukannya SPRM.

“Saya akan bercuti jika saya disiasat agensi sendiri kerana (didakwa) melakukan jenayah. Jika itu situasinya, saya akan bercuti untuk membolehkan timbalan saya melakukan siasatan terhadap saya. Saya tak sepatutnya bekerja kerana kehadiran saya mungkin menganggu siasatan.

“Tetapi dalam kes ini, perkara itu diuruskan pihak berkuasa berlainan dan tidak ada isu yang kehadiran saya di pejabat akan menganggu siasatan,” katanya. – 13 Februari, 2022.

Berita penuh di sini. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen