Berapa lama PM mahu berdiam diri dalam skandal Azam Baki, soal Kit Siang


Skandal Azam Baki mencetuskan krisis keyakinan terburuk terhadap SPRM dan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob masih berdiam diri.– Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Januari, 2022.

BERAPA lama lagi Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mahu berdiam diri dalam skandal melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki, tanya veteran DAP Lim Kit Siang.

Lim berkata Malaysia sekarang sedang berdepan krisis keyakinan terburuk terhadap agensi anti rasuah negara, tetapi Ismail yang sepatutnya berasa bimbang kerana SPRM berada di bawah bidang kuasanya masih tidak menunjukkan sebarang petunjuk bimbang dan peduli.

“Sudah hampir dua minggu sejak Edmund Terence Gomez meletak jawatan sebagai ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM sebagai protes terhadap kegagalan SPRM untuk bertindak dalam dakwaan konflik kepentingan terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki tetapi perdana menteri masih tidak berkata sepatah pun tentang Azam-gate, skandal terbaru dalam skandal-skandal yang membelenggu Malaysia,” kata ahli Parlimen Iskandar Puteri itu dalam kenyataan hari ini.

Gomez, seorang ahli akademik, berundur daripada panel dibawah SPRM itu sebagai tanda protes terhadap kegagalan agensi bertindak ke atas dakwaan Azam Baki memegang kepentingan dalam syarikat disenaraikan dalam pasaran saham.

Pada 5 Januari lalu, Azam Baki memberitahu media yang beliau membenarkan adiknya, Nasir, membeli saham dua syarikat menggunakan akaun perdagangan miliknya.

Bagaimanapun, agensi itu berkata, saham itu kemudiannya dipindahkan kepada Nasir.

Isu itu dibangkitkan di Parlimen pada 14 Disember oleh Ahli Parlimen Sungai Buloh R Sivarasa yang mempersoalkan sama ada Azam Baki ada mengisytiharkan dakwaan pemilikan 2.15 juta saham dalam Excel Force MSC Bhd pada 2015 serta 1.93 juta saham dalam Gets Global Bhd pada tahun sama serta 1.02 juta saham tahun berikutnya.

Azam memberitahu yang beliau sudah memaklumkan orang atasannya pada 2015 tentang pembelian saham dibuat adiknya dan tiada kebimbangan dibangkitkan ketika itu.

Lim berkata tindakan berdiam diri Ismail dalam isu itu sangat membimbangkan kerana beliau pada masa sama menghapuskan doktrin pemisahan kuasa antara Eksekutif, Legislatif dan Kehakiman.

Katanya, wujud juga isu lain yang timbul dalam skandal Azam-gate itu seperti tindakan Lembaga Penasihat Anti Korupsi SPRM yang membebaskan Azam Baki daripada dakwaan konflik kepentingan sedangkan ia tidak berkuasa berbuat demikian seperti dinyatakan dalam Akta SPRM 2009 dan dibuat tanpa siasat, tetapi hanya bersandarkan penafian Azam Baki semata-mata.  

 “Pendedahan oleh empat ahli Parlimen pembangkang yang Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi Agensi-Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri yang pertemuan untuk SSC memanggil Azam tentang dakwaan konflik kepentingan perlu pertama sekali mendapatkan kelulusan Eksekutif, menghapuskan logik kepentingan doktrin pemisahan kuasa antara Eksekutif, Legislatif dan Kehakiman,” kata Lim lagi.

Beliau juga berkata PAS turut terlibat membela Azam Baki apabila berkata isu itu patutnya sudah selesai selepas sidang media dibuat ketua SPRM itu.

Selain itu, pengerusi untuk Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi Agensi-Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri adalah Ahli Parlimen Kuala Krai Abdul Latiff bin Abdul Rahman daripada PAS, kata Lim lagi.

“Adakah ini kesan arahan daripada partinya PAS dan perdana menteri yang menyebabkan Jawatankuasa Parlimen tidak boleh bertemu atau memanggil Azam Baki di hadapan SC untuk membersihkan namanya daripada segala dakwaan konflik kepentingan,” soal Lim.

Suruhanjaya Sekuriti (SC) dalam kenyataan media berkata ia akan memanggil Azam untuk mendapatkan bukti dan mengesahkan kenyataan berkaitan isu itu.

SC turut berkata di bawah Seksyen 25 Akta Industri Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (Sicda), semua aktiviti akaun sekuriti yang dibuka dengan depositori pusat perlu lah untuk kepentingan pemilik akaun atau penama lain yang dibenarkan. – 8 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen