Ahli ekonomi letak jawatan panel SPRM


Pakar ekonomi Edmund Terence Gomez meletak jawatan sebagai ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah di bawah SPRM kerana kegagalannya bertindak ke atas dakwaan pemilikan saham ketua pesuruhjaya Azam Baki dalam sebuah syarikat senarai awam.– Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Disember, 2021.

SEORANG ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM telah meletak jawatan sebagai protes atas kegagalannya bertindak terhadap dakwaan pemilikan saham oleh ketua pesuruhjaya SPRM Azam Baki dalam sebuah syarikat senarai awam.

Ahli ekonomi terkemuka Edmund Terence Gomez berkata beliau telah membangkitkan perkara itu dengan pengerusi panel Borhan Dolah pada 12 November dan meminta satu mesyuarat diadakan.

Beliau berkata Borhan positif dengan gesaannya tetapi tidak mengadakan mesyuarat itu.

Walaupun Borhan pada mulanya memberi maklum balas serta-merta dan bersetuju untuk memanggil panel, mesyuarat itu tidak pernah menjadi kenyataan.

Dalam surat peletakan jawatannya, yang dilihat oleh The Malaysian Insight, Gomez berkata soalan telah dibangkitkan mengenai “hubungan antara perniagaan dan penguatkuasa” dan situasi “konflik kepentingan” yang melibatkan Azam Baki.

Beliau berkata bekas pegawai tinggi SPRM didakwa terbabit dalam situasi konflik kepentingan, sekaligus mencadangkan “ada suatu trend di institusi itu (SPRM) yang mesti disiasat segera”.

Gomez berkata beliau mengetahui dakwaan terhadap Azam menerusi artikel yang diterbitkan di laman web dan menulis surat kepada Borhan berhubung perkara itu. 

“Saya tekankan bahawa maklumat yang saya terima itu amat membimbangkan kerana ia berdasarkan penyelidikan yang ekstensif. Penulis laporan itu turut menamakan dirinya, menunjukkan panel boleh menghubunginya untuk membincangkan perkara itu,” katanya.

Gomez berkata dalam surat terakhirnya kepada Borhan pada 14 Disember, beliau memberitahu ketua panel bahawa beliau akan meletakkan jawatan jika ia tidak memberi maklum balas.– 28 Disember, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen