Penolong akauntan ditahan SPRM bantu siasatan kes seleweng wang 


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor hari ini menahan seorang penolong akauntan bagi membantu siasatan berhubung kes penyalahgunaan kuasa membabitkan penyelewengan wang kira-kira RM100,000.

Menurut sumber, lelaki berusia 50 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Johor Bahru pada kira-kira 3 petang tadi selepas hadir memberikan keterangan.

Difahamkan, pada 2016 hingga 2018, lelaki berkenaan yang menguruskan akaun pejabatnya berpusat di sebuah daerah, telah menyalahgunakan kuasa dengan menyeleweng wang tersebut dipercayai untuk kepentingan dirinya sendiri.

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata lelaki itu akan dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru untuk pertuduhan esok. – Bernama, 26 Januari, 2022.
 



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen