Isunya Azam Baki, bukan saya, kata Gomez


Alfian Z.M. Tahir

Bekas ahli panel SPRM Dr Edmund Terence Gomez berkata Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki perlu respons kepada tuduhan dikenakan terhadapnya, bukan berdiam diri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Disember, 2021.

PANEL memantau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sepatutnya mendesak Ketua Pesuruhjaya Azam Baki untuk respons kepada soalan berkenaan pemilikan saham korporatnya, bukan menyasarkan kepada pihak yang membangkitkan isu itu, kata bekas ahli panel Edmund Terence Gomez hari ini.

“Bukankah perhatian sepatutnya kepada Azam Baki? Kenapa sasarkan penyampai maklumat. Fokus sepatutnya kepada Azam Baki dan dia perlu menjawab tuduhan ini.

“Azam senyap saja sejak isu ini ditimbulkan. Sebagai ketua pesuruhjaya SPRM, beliau sepatutnya menjawab persoalan ini serta-merta,” kata Gomez kepada The Malaysian Insight.

Pakar ekonomi dan pensyarah Universiti Malaya itu hari ini bercanggah pendapat dengan Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah SPRM Abu Zahar Ujang.

Ia susulan pendedahan emel antara Gomez dan Abu Zahar serta Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah Borhan Dolah, di mana Gomez meletak jawatan daripada panel itu.

Beliau meletak jawatan sebagai tanda protes susulan Abu Zahar dan Borhan tidak bertindak terhadap dakwaan Azam memiliki sejumlah besar saham syarikat dalam sebuah syarikat pada 2015 dan 2016, dan mungkin tidak mengisytiharnya.

Komunikasi dengan Borhan dan Abu Zahar yang didedahkan Gomez kepada media menunjukkan beliau menghantar emel menggesa satu mesyuarat untuk membincangkan kes Azam sejak 10 November.

Katanya, beliau juga memberikan beberapa lampiran dalam emelnya kepada Borhan dan Abu Zahar, berkenaan maklumat tentang Azam, yang berkhidmat dengan SPRM sejak lebih 30 tahun.

Borhan menolak dakwaan Gomez, berkata emelnya tidak pernah menyebut tentang salah laku Azam.

Gomez berkata Borhan “tidak jujur” kerana walaupun nama Azam tidak berada di tajuk emel, ia disebut bersama dengan butiran tuduhan konflik kepentingan dalam lampiran.

Isu dakwaan Azam memiliki saham itu turut dibangkitkan di Parlimen pada 14 Disember oleh Ahli Parlimen Sungai Buloh R. Sivarasa yang mendesak supaya satu siasatan bebas diadakan. – 30 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Kalau tiada apa yang perlu DISEMBUNYIKAN untuk mengelak masyarkat ternampak kesalahan disisi undang-undang, mengapa Ketua Pengarah SPRM tidak perlu mejawab tuduhan. Bukan susah - yang perlu di jawab satu perkara sahaja, iaitu dari mana beliau dapat duit untuk beli begitu banyak saham? Kena loteri kah? Harta pusaka dari ibu bapa kah?

    Ketua Pengarah perlu mematuhi undang-undang yang digunakan oleh jabatannya untuk dapat maklumat mengenai kekayaan pegawai-pegawai kerajaan jika kekayaan itu tidak munasabah berbanding gaji mereka?

    Jadi mengapa tidak boleh membuka buku dan tunjuk dari mana dapat duit itu? Adakah ia simpanan dari masa dibangku sekolah lagi?

    Dimuat naik 2 tahun yang lalu oleh Ravinder Singh · Ulasan