Keluarga Beng Hock juga mahu keadilan, akan saman polis


Angie Tan

(Dari kiri) Keluarga Teoh Beng Hock, Teoh Lee Lan (adik), Teoh Leong Hwee (ayah), Teoh Er Jia (anak) dan Teng Shuw Hor (ibu) masih menanti keadilan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Oktober, 2021.

KELUARGA Teoh Beng Hock akan kembali mencari jawapan misteri kematiannya 12 tahun lalu di mahkamah, kali ini menerusi saman terhadap pihak polis.

Ia susulan keputusan Putrajaya untuk menubuhkan pasukan tindakan khas bagi menyemak semula kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kasim,27.

Adib cedera parah dalam rusuhan kuil di Subang Jaya pada Disember 2018 sebelum meninggal dunia, bagaimanapun inkues koroner dan siasatan polis tidak berjaya menemui punca sebenar kejadian yang menyebabkan peristiwa itu.

Teoh Lee Lan, adik Beng Hock mengalu-alukan siasatan pihak berkuasa ke atas punca sebenar kematian Adib, tetapi menekankan ia juga perlu dilakukan untuk kes serupa yang masih tidak selesai.

“Sudah tiba masanya menangkap dan membawa pembunuh abang saya ke muka pengadilan dan bukan hanya bercakap tentangnya,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Lee Lan berkata sudah tiga jawatankuasa khas ditubuhkan untuk kes Beng Hock pada 2012, 2014 dan 2018, tetapi ia masih tidak menemui hasil memuaskan sehingga hari ini.

Beliau mengesahkan yang keluarganya akan memfailkan saman terhadap polis.

“Polis habiskan masa 12 tahun siasat tetapi tak siap-siap,” katanya.

“Kami harap polis dapat siapkan siasatan supaya pembunuh dapat ditemui dan dibawa ke muka pengadilan,” tambahnya.

Teoh Lee Lan mengalu-alukan keputusan kerajaan menubuhkan pasukan khas kembali menyiasat kematian Adib, tetapi menekankan layanan sama perlu diberikan kepada semua kes serupa yang masih tidak selesai. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Oktober, 2021.

Jalan keadilan yang sukar dan panjang

Beng Hock adalah setiausaha politik kepada Ean Yong Hian Wah, yang ketika itu exco kerajaan Selangor, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, di Shah Alam, ketika itu ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau hadir untuk disoal siasat berkenaan dakwaan rasuah terhadap Ean Yong sejak 15 Julai, sebelum ditemui mati dipercayai terjatuh dari tingkat sembilan.

Sejak itu, keluarganya menggunakan pelbagai jalan undang-undang, kesemuanya tidak mendatangkan hasil keputusan memuaskan terhadap kejadian sebenar kematiannya.

Inkues koroner yang mengambil masa 18 bulan mendapati wujud bukti kecederaan sebelum Beng Hock jatuh, tetapi membuat keputusan terbuka yang kematiannya bukan disebabkan “pembunuhan atau bunuh diri”.

Suruhajaya Siasatan Diraja kemudiannya ditubuhkan dan menamatkan siasatan pada Julai 2011, mendapati yang Teoh diletakkan dalam keadaan tertekan sehingga membunuh diri disebabkan kaedah soal siasat agresif pegawai SPRM.

Suruhanjaya menyalahkan tiga pegawai SPRM kerana kaedah siasatan agresif mereka, yang menurutnya melanggar prosedur.

Keluarga Beng Hock turut menyaman 10 orang pegawai SPRM, serta SPRM sendiri dan kerajaan kerana kecuaian dan kekasaran dibuat ke atas Beng Hock ketika dalam tahanan, sehingga menyebabkan kematian.

Mereka turut memfailkan saman untuk membatalkan keputusan koroner. Pada 2014, Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan terbuka inkues koroner dan memutuskan kematian Beng Hock bukan disebabkan bunuh diri tetapi disebabkan tindakan pihak tidak dikenal pasti.

Mahkamah Rayuan turut mengarahkan polis kembali menyiasat kes Beng Hock. – 17 Oktober, 2021.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen