Jawatankuasa khas siasat kes Adib, Pulau Batu Puteh, dakwaan Tommy Thomas


Putrajaya menubuhkan jawatankuasa bagi kes Pulau Batu Puteh yang bertujuan mendapatkan pandangan mengenai kecuaian dalam tuntutan Malaysia ke atas pulau strategik itu. – Gambar EPA, 9 Oktober, 2021.

TIGA jawatankuasa khas ditubuhkan masing-masing bagi menyiasat kes kematian Mohamad Adib Mohd Kassim, tuntutan ke atas Pulau Batu Puteh serta isu dibangkitkan bekas peguam negara Tommy Thomas.

Penubuhannya diumumkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang berkata Kabinet memutuskan jawatankuasa tersebut diberi tempoh enam bulan untuk menyiasat.

Bagi kes kematian Adib, Ismail Sabri berkata jawatankuasa khas itu akan memastikan siasatan diadakan menyeluruh dan telus serta memberi pembelaan sewajarnya terhadap anggota bomba itu.

Pembelaan ke atas Adib dalam kes kematian sewaktu rusuhan di sebuah kuil pada Disember 2018 itu merupakan antara kempen yang digerakkan PAS, salah sebuah parti kerajaan.

Menurut Ismail Sabri, jawatankuasa itu akan dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Ia turut dianggotai Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Reezal Merican Naina Merican serta Peguam Negara Idrus Harun, katanya.

“Penubuhan jawatankuasa khas ini membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan kes kematian Allahyarham Adib ... mendapat keadilan dan sekali gus pelaku kematian Adib dihadapkan ke muka pengadilan.”

Ismail Sabri berkata, jawatankuasa bagi kes Pulau Batu Puteh pula antara lain bertujuan mendapatkan pandangan mengenai kecuaian dalam tuntutan Malaysia ke atas pulau strategik itu.

Ia dibuat ekoran ekoran keputusan Malaysia untuk tidak meneruskan permohonan semakan dan pentafsiran kes berkenaan susulan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2008.

Pada pertengahan 2014, Sultan Johor mencadangkan pasukan khas ditubuh untuk menyemak keputusan ICJ itu.

Peguam Negara Mohamed Apandi Ali juga ketika itu mengesahkan Malaysia memfailkan permohonan semakan ke ICJ pada 2 Februari 2017.

Ismail Sabri mengumumkan, Apandi akan mempengerusikan pasukan petugas khas bagi usaha itu.

Mengulas mengenai jawatakuasa khas bagi dakwaan Thomas pula, Ismail berkata ia berkait isu ditimbulkan bekas peguam negara itu dalam buku “My Story: Justice in the Wilderness”.

Buku itu terbit selepas Thomas meletak jawatan apabila pentadbiran Pakatan Harapan tumbang pada 2020.

Ia antara lain melibatkan dakwaan salah guna kuasa dalam isu pelantikan hakim dan campur tangan badan eksekutif melampau dalam badan kehakiman.

Selain itu, Thomas turut membangkitkan isu pendakwaan terpilih dan bersifat politik serta pelanggaran sumpah kerahsiaan, kata Ismail.

Pengerusi pasukan petugas khas itu akan dilantik dalam masa terdekat, kata Ismail Sabri. –  9 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen