ENTAH gamaknya kalau Sultan Alauddin Riayat Syah dapat hidup semula, bagaimana kita mahu mewaraskan kepada baginda keadaan Melayu hari ini.
Bukannya apa, saya memetik nama Sultan Alauddin, kerana berpendapat bagindalah satu-satunya raja Melayu di zaman Kesultanan Melayu Melaka yang boleh “dipakai”.
Saya yakin baginda tidak akan mengiktiraf penjenayah di istananya, kerana memang baginda tersohor sebagai pemerintah yang tiada kompromi dengan penyangak, atau penyamun.
Kita maklum betul kerana telah mempelajarinya di dalam mata pelajaran sejarah di sekolah. Saya juga pernah menulis sebuah novel remaja “Nama Beta Sultan Alauddin” yang memperihalkan integriti baginda itu.
Saya menyentuh Sultan Alauddin kerana saya berpandangan baginda seorang raja yang telah meletakkan paksi keadilan ketika pemerintahannya, seperti tergambar dalam teks kanun Melaka, Sulalatus Salatin.
Inti pati konsep keadilan gagasan baginda itu terdapat dalam nasihat kepada penggantinya, yang berbunyi begini:
“Adapun peninggalanku ini hendaklah anakku berbuat ibadat sangat-sangat, jangan anakku mengambil hak segala manusia dengan tiada sebenarnya, kerana segala hamba Allah semuanya terserah kepadamu.
“Jikalau kesukaran baginya, hendaklah segera engkau tolong, jikalau teraniaya ia hendalah segera periksai baik-baik, supaya di akhirat nanti jangan diberatkan Allah atasnya lehermu kerana sabda Nabi….. segala kamu yang mengembala lagi akan ditanyai Allah daripada segala ra’ayatnya, sebab demikianlah maka harus engkau berbuat adil dan syaksama supaya di sana [di akhirat] terpelihara Allah ta’ala kiranya engkau di dalam akhirat”.
Titah tuanku ketika nazak itu menjadi lebih bermakna dan penuh kebudimanan apabila baginda memberikan nasihat mengenai hubungan seorang raja, dengan menteri dan juga rakyatnya.
Kata Sultan Alauddin:
“Syahdan hendaklah engkau muafakat dengan segala perdana menteri dan orang besyar-besyar, kerana raja itu jikalau bagaimana sekalipun bijaksananya dan tahunya sekalipun jikalau tiada ia muafakat dengan segala pegawai tiada akan sentosa adanya, dan tiada akan dapat ia melakukan ‘adilnya.
“Adapun raja-raja itu umpama api, segala perdana menteri umpama kayu, kerana api itu jikalau tiada kayu tiada akan nyala… [yang] ra’ayat itu umpama akar, raja itu umpama pohonnya; jikalau tiada akar nescaya pohon tidak akan dapat berdiri…
“Adapun segala anak Melayu jikalau bagaimana sekalipun besar dosanya jangan segera kau bunuh, melainkan yang patut pada hukum Allah, kerana segala Melayu, …..seperti [kata] hadis, yang hamba itu tu(h)anya, jikalau kau bunuh ia dengan tiada dosanya, bahawa kerajaanmu binasa.”
Menurut Allahyarham Hassan Ahmad yang menulis “Minda Melayu dalam Kesusasteraan Melayu Tradisional: Pandangan Melayu-Islam Tentang Keadilan”, dua petikan titah Sultan Alauddin di atas sangat luar biasa sekali muatannya kerana ia memberi gambaran konsep Melayu-Islam tentang keadilan.
Berdasarkan titah tersebut kita dapat memahami yang, pertamanya seorang raja atau pemerintah tidak berhak mengambil atau merampas hak manusia atau rakyat “dengan tiada sebenarnya”.
Apa yang jelas ialah kandungan titah ini juga menghuraikan prinsip hak asasi manusia yang utama, iaitu pengikirafan kehormatan diri. Ia juga mencegah pemerintah yang tidak mengikut peraturan, adat atau undang-undang.
Kedua, Sultan Alauddin menghujahkan yang rakyat ialah hamba kepada Allah. Oleh itu rakyat bukan hamba abdi raja. Menjadi tanggungjawab raja atau pemerintah sebagai pemegang amanah, untuk menguruskan rakyat menurut lunas undang-undang dunia, dan bukan menurut hawa nafsunya semata-mata.
Kita mendapati peranan seorang raja itu dikaitkan sebagai pohon atau payung tempat rakyat mendapat naungan atau perlindungan. Rakyat pula dirujuk sebagai akar atau pendukung raja, tanpa rakyat raja tidak akan ada. Oleh itu seorang pemerintah tidak boleh mengkhianati, menganiaya apatah lagi membodohkan rakyat.
Ketiga, Sultan Alauddin secara tegas mengiaskan yang raja tidak boleh memerintah secara autokratik, tetapi mesti memerintah melalui prinsip perundingan atau prinsip tanggungjawab bersama (collective responsibility). Hal ini ditekankan menerusi perumpamaan (kayu iaitu pegawai atau menteri, manakala api adalah raja) untuk menyampaikan konsep yang “abstrak” ini.
Seterusnya, Sultan Alauddin menyeru penggantinya supaya “berbuat ibadat sangat-sangat”. Kata “ibadat” ini tentulah mencakupi ibadat atau hubungan manusiawi iaitu melibatkan rakyat dan negara. Di sinilah datang pantun yang terkenal mengenai “rule of law” itu:
Menanam kelapa di Pulau Bukum
Tinggi sedepa sudah berbuah:
Adat bermula dengan hukum,
Hukum bersandar di Kitab Allah.
Kita tentu biasa dengan konsep keadilan undang-undang Melayu yang berbunyi “biar mati anak jangan mati adat”. Kebanyakan orang tidak faham akan maksud peribahasa ini dan menyangkakan orang Melayu bodoh kerana sanggup mati anak untuk mempertahankan adat. Akan tetapi sebetulnya peribahasa ini adalah prinsip lampau “the rule of law”.
Adat menurut orang Melayu dahulu kala bererti undang-undang, peraturan dan hukum. Yakni jika anak kita sendiri melakukan pembunuhan, maka dia mesti dihadapkan di mahkamah, dan jika sabit kesalahannya, dia hendaklah dijatuhi hukuman, walaupun hukuman bunuh.
Adat, yakni undang-undang, tidak boleh diubah demi menyelamatkan si anak itu, baik dia anak raja, atau anak menteri atau bekas perdana menteri sendiri. Kalau bersalah tiada keampunan.
Oleh kerana Sultan Alauddin seorang yang penuh integriti, saya tidak fikir baginda akan berkompromi dengan pencuri di negerinya ketika itu. Kita tahu ketegasan Sultan Alauddin yang menangkap pencuri pada malam hari. Bukannya mengundang penyamun, penjahat, bandit, lanun, samseng dan musuh negeri ke majlis santapan baginda di balairong seri. Apatah lagi berhari raya bersama-sama.
Sesungguhnya untuk rakyat, mahupun pemerintah Melayu, terdapat pedoman pada khazanah bangsa jika kita mahu mendengar, membaca dan meneroka lagi mendalami pengajaran atau ibrah Melayu-Islam itu.
Menjadi Melayu-Islam bukan dengan bertanjak bertengkolok ke hulu hilir berseloka gurindam tetapi merelakan pencabulan hak asasi manusia, menebuk undang-undang, dan menjadahkan hukum-hakam negara. Kita perlu mendasari dan berpegang Melayu-Islam yang betul dan bukan bermain-main.
Sultan Alauddin mengingatkan anakandanya agar berpegang teguh kepada prinsip ini. Akan tetapi kita semua tahu bahawa anaknya itu malang tidak berlaku adil. Sultan Mahmud Syah, menjadi raja yang ganas, kejam dan tidak adil, kaki betina, pura-pura alim dan selalu melayan pengkhianat dan penjahat.
Iktibarnya Melaka menjadi lemah dan akhirnya diserang langsung ditakluk oleh Portugis.
Rakyat merana, raja hilang negeri, penjenayah kekal bermaharajalela. – 26 April, 2022.
* Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Bersekutu untuk sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard. Faisal menulis mengenai pelbagai perkara yang menjadi minat beliau.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen