Seru boikot produk bukan Islam kerja jahat penulis upahan, kata Ummah


Mohd Farhan Darwis

Presiden Ummah Aminuddin Yahaya berkata, pertubuhan itu tidak sesekali menyeru amalan memboikot produk bangsa lain dan mengesyaki senarai tersebut diedar penulis upahan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 September, 2019.

NGO Gerakan Pembela Ummah (Ummah) menafikan mengeluarkan senarai ratusan produk dan premis perniagaan pengusaha Islam bersama slogan memboikot produk bukan Islam.

Presiden Ummah Aminuddin Yahaya berkata, pertubuhan itu tidak sesekali menyeru amalan memboikot produk bangsa lain dan mengesyaki senarai tersebut diedar penulis upahan.

“Tak tahulah itu, kadang-kadang cyber trooper (penulis upahan) ini jahat juga, nak rosakkan kempen kita ini, dia buatlah benda macam ini, kita tak tahulah,” katanya.

“Ummah tidak ada (keluarkan senarai), kita bukan menentang Cina, kita tak pernah nak boikot-boikot, nak anti (kaum lain).

“Ini (tindakan) cybertrooper, kita tak tahulah,” kata Aminuddin lagi kepada The Malaysian Insight.

Beliau ditanya mengenai senarai bertajuk “Sokong barangan Bumiputera Islam” yang mengandungi ratusan senarai produk dan premis milik komuniti Melayu dan Islam dalam satu dokumen digital.

Aminuddin ditanya demikian kerana satu halaman dalam dokumen digital itu tertera logo NGO Ummah, yang dinafikannya.

“Jahat ni, jangan-jangan (libatkan Ummah), tiada kaitan dengan kita,” tegasnya lagi.

Senarai yang menyertakan slogan “BBCD” itu dikesan beredar di media sosial dan juga aplikasi perbualan WhatsApp.

Ia turut menyertakan pautan ke http://bbcdrasmi.blogspot.com yang merupakan blog untuk kempen “Boikot Barang Cina DAP”.

Dokumen yang menyertakan logo NGO Ummah itu antara lain menyebut, matlamat BBCD adalah untuk meningkatkan taraf ekonomi peniaga Islam dan perusahaan orang Islam.

Ia dijalankan dengan cara “mempromosikan barangan keluaran orang Islam sebagai alternatif kepada lambakan monopoli barang-barang dan perusahaan keluaran bukan Islam di pasaran”.

Dokumen setebal 30 muka surat itu turut menyatakan hasrat mengekang dan menyekat kuasa monopoli peniaga Cina dalam pasaran.

Ia mendakwa, produk seperti itu “selama ini hanya membebankan pengguna-pengguna Melayu Islam.”

Ia turut mendakwa, kandungan buku tersebut tiada unsur hasutan yang melanggar undang-undang seperti Akta Hasutan 1948.

Dokumen itu turut menyatakan objektif mengekang dan menyekat kuasa monopoli peniaga Cina dalam pasaran, yang selama ini hanya membebankan pengguna-pengguna Melayu Islam.

Ia turut menyatakan, dokumen itu juga untuk mendedahkan produk dan perusahaan Cina “kiasu” yang menggunakan jenama dengan identiti Melayu-Islam.

Ini memandangkan produk sedemikian mencetuskan kekeliruan dalam kalangan masyarakat Islam.

“Sebagai medium khas informasi dan maklumat kepenggunaan kepada masyarakat Islam melalui kaedah seperti saluran media sosial dan sebagainya,” kata dokumen berkenaan.

Blog http://bbcdrasmi.blogspot.com pula antara lain menonjolkan produk didakwa sebagai keluaran pengusaha bukan Islam.

Antara produk yang dinyatakan adalah satu jenama pau. – 9 September, 2019.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen