Azwanddin minta maaf fitnah Chin Tong pakai seragam komunis


Presiden Jaringan Melayu Malaysia Azwanddin Hamzah mengaku beliau memfitnah Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong memakai seragam Parti Komunis Malaya (PKM) dalam program rasmi kementerian pada akhir Oktober 2018. – Gambar ihsan Roketkini, 28 Ogos, 2019.

AKTIVIS hak Melayu, Azwanddin Hamzah meminta maaf kepada Liew Chin Tong kerana mendakwa timbalan menteri itu menyuntik elemen komunisme di Kementerian Pertahanan.

Presiden Jaringan Melayu Malaysia itu mengaku beliau memfitnah Liew, yang juga senator DAP, memakai seragam Parti Komunis Malaya (PKM) dalam program rasmi kementerian pada akhir Oktober 2018.

Pengakuan fitnah dan permohonan maafnya direkodkan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Azimah Omar, hari ini.

Mahkamah turut mengarahkan Azwanddin menerbitkan permohonan maaf itu di beberapa akhbar dan di Facebook. 

Beliau juga diarah membayar RM40,000 kepada Liew.

Liew dan Azwanddin turut menandatangani penyelesaian persetujuan di hadapan hakim.

Dalam reaksinya, Liew yang juga pengarah pendidikan politik DAP berharap kes ini jadi iktibar kepada orang ramai untuk berhenti daripada meniup sentimen perkauman.

“Menjelang Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia adalah wajar untuk kita semua menganggap bahawa semua kita adalah anak Malaysia. 

“Dan sesiapa yang berkhidmat di dalam kerajaan — tidak kira bangsa — kami berkhidmat untuk semua rakyat Malaysia,” katanya, seperti dipetik portal berita DAP, Roketkini.

Pada 30 Oktober tahun lalu, Azwanddin menyiarkan kenyataan di Facebook menuduh timbalan menteri DAP itu sengaja mengenakan seragam komunis untuk menghina askar Melayu.

Lebih dua minggu kemudian, pada 19 November, beliau menyebarkan fitnah sama di laman web JMM melalui artikel bertajuk ‘Kementerian Pertahanan Kini Berada Dalam Tekanan Dan Ancaman’.

Kementerian Pertahanan menafikan tuduhan liar itu dan menjelaskan pakaian warna khaki yang Liew pakai adalah baju korporat untuk menteri dan timbalan menteri.

Dalam notis tuntutannya kepada Azwanddin, Liew berkata kenyataan fitnah itu mahu menggambarkan beliau ada  hubungan dengan komunis dan kegiatan pengganas, sekaligus khianat kepada negara. – 28 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen