Kempen utama produk Muslim bukan rasis, kata Ummah


Mohd Farhan Darwis

Pengerusi Ummah Aminuddin Yahaya berkata kempen beli produk Muslim tidak sepatutnya dikaitkan dengan isu kaum dan agama seperti didakwa pemimpin kerajaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 September, 2019.

KEMPEN membeli produk buatan orang Islam tidak bersifat rasis kerana ia tidak menyeru pengguna memboikot produk dan barangan keluaran syarikat bukan Islam, kata NGO Gerakan Pembela Ummah (Ummah).

Pengerusinya Aminuddin Yahaya berkata, ia tidak sepatutnya dikaitkan dengan isu kaum dan agama seperti yang dibangkitkan pemimpin kerajaan.

“Ummah kecewa dan terkilan terhadap kenyataan beberapa pemimpi politik negara yang mengaitkan kempen ini kepada isu perkauman dan agama.

“Malah ada yang mengaitkan juga dengan parti-parti politik. Ummah dengan ini menegaskan kempen ini tidak bermaksud memboikot produk daripada pengusaha bangsa lain.

“(Ia) juga tidak ada kena mengena dengan parti politik, sama ada kerajaan mahupun pembangkang,” kata Aminuddin.

Aminuddin juga berkata, melalui kempen itu, pihaknya tidak menzalimi mana-mana pengusaha bukan Islam sekaligus kempen berkenaan tidak boleh dilabel sebagai perkauman.

“Rasis berlaku apabila kita zalimi orang. Kita tak zalimi orang malah kita bantu orang Islam yang fakir dan tidak banyak pendapatan.

“Sebenarnya kita sedang laksanakan dasar kerajaan untuk bantu golongan termiskin, kerajaan patut beri geran kepada Ummah kerana kita melaksanakan dasar afirmatif,” tambahnya lagi.

Malah penganjur kempen itu juga tidak pernah mendorong agar pengguna memulaukan produk keluaran pengusaha bukan Islam, katanya.

“Kita tidak pernah sebut mana-mana pengguna supaya boikot produk bukan Islam, kita sebut satukan kuasa beli mereka dan halakan kepada produk keluaran Muslim.

“Kalau tiada produk Muslim, gunakan produk bukan Muslim yang sesuai dengan kehendak Islam,” katanya.

Aminuddin berkata, istilah boikot adalah satu kenyataan jahat dalam ekonomi umat Islam kerana ia memberi prasangka buruk kepada umat Islam dan ahli perniagaan beragama Islam.

Jelasnya, kempen itu dilaksanakan untuk membantu pengusaha Islam yang mempunyai kekangan untuk memasarkan produk.

Kempen berkenaan juga berhasrat untuk melestarikan jurang ekonomi antara komuniti Bumiputera dengan bukan Bumiputera, katanya lagi dalam sidang media di ibu negara.

Aminuddin mengulas kenyataan pemimpin Pakatan Harapan yang melihat kempen berkenaan mengancam kehidupan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Ia antara lain mendapat teguran Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang berkata kempen menolak produk bukan Islam dan bukan Bumiputera hanya akan mencetuskan api kemarahan.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng pula meminta Umno dan PAS memainkan peranan mereka bagi menghentikan kempen tersebut.

Selain itu, Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata umat Islam sepatutnya mempromosi produk halal dan tidak menjalankan kempen memboikot mana-mana produk dengan alasan kaum.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata kempen berkenaan tidak bersifat rasis kerana ia akan membantu usahawan kecil dan luar bandar serta menjadi lebih berdaya saing.

Melalui kempen ini, pihaknya mengharapkan kesamarataan ekonomi dapat dirasai pengusaha Islam, sama seperti pengusahaan daripada bangsa lain.

“Ummah menolak istilah rasis yang digunakan oleh sesetengah pihak kerana ia adalah satu istilah yang digunakan bagi memenuhi kehendak politik mereka tanpa ada sebarang asas.

“Ertinya, ia berniat jahat untuk mematikan kempen ini dan semangat membantu sesama Muslim,” kata Aminuddin lagi.

Kempen itu dilancarkan Ummah bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) pada 2 April lalu di Menara Kuala Lumpur.

Pelancaran kempen seterusnya dibuat pada 23 Julai lalu bersama Koperasi Al-Hilal Bhd (Kohilal) dan syarikat penyedia aplikasi, ABATA Commerce Sdn Bhd.

Ummah bersama NGO di bawahnya merancang untuk meluaskan kempen itu dengan menjelajah ke seluruh negara bermula di Pulau Pinang yang dijadualkan berlangsung pada 8 September.

Ia diikuti kempen Kedah pada 9 September; Selangor dan Kuala Lumpur pada 16 September dan ke Johor pada 28 September.

Satu lagi kempen lebih besar dijadualkan berlangsung pada 1 Oktober, di lokasi yang akan dimaklumkan kemudian.

Fasa kedua jelajah kempen berkenaan akan meliputi negeri-negeri di Pantai Timur seperti Kelantan, Terengganu, dan Pahang. – 3 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen