Kempen boikot produk bukan Islam hanya mainan politik, kata peruncit


Diyana Ibrahim Mohd Farhan Darwis

Mustahil pengguna sokong produk keluaran pengusaha dimiliki 100% oleh orang Islam dalam konteks pasaran Malaysia, kata persatuan peruncit. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 September, 2019.

PERSATUAN peruncit berpendapat, kempen memboikot produk bukan Islam hanyalah mainan politik untuk memecahbelahkan perpaduan kaum dan tidak akan membantu usahawan Bumiputera.

Mereka juga melihat, kempen berkenaan tentunya sudah lama digerakkan jika ia benar-benar dapat membantu produk dari usahawan Islam dan bukan hanya baru ditimbulkan pada waktu ini.

Lagi pula, mustahil bagi pengguna menyokong produk yang keluaran pengusaha yang dimiliki seratus peratus oleh orang Islam dalam konteks pasaran Malaysia, kata persatuan ini.

Pegangan sesebuah syarikat pada kebiasaannya bercampur dengan kaum lain, dan tidak hanya dimiliki pengusaha Bumiputera, kata Persekutuan Persatuan Peniaga Barangan Runcit Malaysia.

Presidennya Hong Chee Meng juga berkata boikot seperti itu tidak berlaku di Malaysia timur dan percaya ia hanya digerakkan pada wakut ini demi kepentingan politik pihak tertentu.

Beliau juga menuntut agar kerajaan bertindak lebih keras ke atas kempen seperti itu.

“Isu ini perlu diselesaikan kerajaan kena kena suarakan, dan tegas lagi. Sebab kalau kita pergi Sabah dan Sarawak isu boikot orang Islam atau bukan Islam tak wujud pun.

“Semua dapat duduk semeja minum kopi sama-sama. Dulu kita pun begitu tak kisah, cuma sebab politik saja isu ini ditimbulkan,” katanya.

Beliau juga percaya tiada syarikat milik Bumiputera sepenuhnya di Malaysia pada waktu ini.

“Memang Malaysia ini tidak ada seratus peratus milik Melayu saja, mesti ada syarikat bercampur dengan Bumiputera,” kata Hong.

Presiden Persekutuan Persatuan Peniaga Barangan Runcit Malaysia berkata percaya tiada syarikat milik Bumiputera sepenuhnya di Malaysia pada waktu ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 September, 2019.

Perkara yang sama turut diakui Persatuan Peruncit Biro Bumputera (BRO) Wira Ali Ameer Mydin yang berpendapat kempen itu bermotif politik.

“Saya rasa ini semua permainan politik sebenarnya tak ada kena mengena pun dengan kempen untuk beli produk Islam saja atau tidak. 

“Ini orang kata permainan politik nak memisahkan Melayu dan Cina,” katanya.

Walhal, peruncit sendiri tidak dapat membezakan sama ada sesebuah pengeluar merupakan syarikat Bumiputera atau tidak kerana perkara itu tidak diberitahu oleh kerajaan.

“Memang susah nak bezakan sebab kita tidak ada sistem yang begitu. Kalau nak tahu yang bukan Bumiputera pun mungkin syarikat antarabangsa multinasional.

“Jadi biasanya perbezaan setakat ini yang kita nak kenal pasti sama ada produk itu halal atau tidak itu saja,” katanya.

Beliau juga berkata, pertubuhan pengguna sepatutnya menganjur kempen membeli barangan buatan Malaysia untuk meningkatkan ekonomi negara dan bukannya kempen boikot.

“Tapi bukan maksud saya tak sokong usahawan Bumiputera cuma sepatutnya jadi keutamaan ialah kempen beli barangan buatan Malaysia ia terbuka untuk semua kaum,” katanya.

Mereka mengulas kempen boikot barangan bukan Islam tular yang tular di media sosial. Penganjur kempen berkenaan bagaimanapun masih tidak dapat dipastikan.

NGO pro-Melayu, Gerakan Pembela Ummah semalam tampil menafikan bahawa pertubuhan itu terbabit menganjurkan kempen memboikot produk dan barangan keluaran syarikat bukan Islam.

Menurut Ummah, mereka hanya menyeru pengguna mengutamakan produk keluaran pengusaha Muslim yang dimulakan pada 2 April lalu.

Pengerusi Ummah Aminuddin Yahaya berkata kempen berkenaan dilaksanakan untuk membantu pengusaha Islam yang mempunyai kekangan memasarkan produk mereka.

Pengerusi Ummah Aminuddin Yahaya berkata mengutamakan produk keluaran pengusaha Muslim dilaksanakan untuk membantu pengusaha Islam yang mempunyai kekangan memasarkan produk mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 September, 2019.

Bagaimanapun, tinjauan The Malaysian Insight mendapati rata-rata pengguna muslim menyokong kempen membeli produk keluaran pengusaha Islam atas alasan kebersihan dan status halal.

Namun mereka tetap tidak akan membeli produk keluaran usahawan Islam jika harganya terlalu mahal.

“Ikut kemampuan kalau mahal sangat mungkin tidak,” kata Ilman Hamzah, 31, seorang kakitangan kerajaan berasal dari Johor.

Seorang lagi pengguna, Nurul Amiran Rosli, dari Kedah berkata beliau tidak terlalu kisah sekiranya sesuatu produk keluaran Islam atau tidak asalkan ia halal.

“Saya sebagai pengguna akan memilih produk yang halal dan murah sebabnya bukan semua orang Islam kita kaya untuk beli produk mahal begitu,” kata surirumah berusia 26 tahun itu.

Namun ada juga yang bertegas untuk membeli produk dari peniaga Islam saja untuk menyokong kempen tersebut.

Seorang pekerja swasta Noridah Hamid, 50, berkata beliau menyokong kerana berpendapat pengusaha Bumiputera ditindas syarikat besar.

“Saya sokong sebab banyak syarikat besar yang cuba sabotaj produk Islam, sebab dulu saya selalu pergi di sebuah pasar raya ini tapi nak dapat barang peniaga Islam susah kadang langsung tak ada.

“Jadi saya dah berapa bulan ini memang langsung tak pergi ke pasar raya tersebut untuk beli barang,” kata pekerja swasta yang tinggal di Klang itu.

Ditanya bagaimana beliau membezakan produk 100% keluaran usahawan Islam, beliau berkata kebanyakan jenama itu banyak dipromosi di laman sosial.

Antara barangan keluaran usahawan Muslim yang biasa dibeli oleh pengguna ini adalah minyak masak, tepung, kicap, beras dan cili sos.

Begitu juga Mohd Shamsul Azlie Ariffin, 34, dari Kelantan yang turut menyokongnya.

“Saya faham dan menyokong kempen tersebut, sebab itu antara barangan yang saya beli seperti minyak (jenama) Saji, tepung gandum (jenama) Faizah,” katanya. – 4 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen