Kembalinya retorik agama, kaum menjelang PRU15


Chan Kok Leong

Retorik agama dan kaum sangat berguna di negeri-negeri Melayu konservatif seperti Kedah, Kelantan dan Terengganu yang kuat PAS, kata penganalisis politik.– Gambar fail The Malaysian Insight, 12 April, 2021.

UMNO, PAS dan Bersatu dijangka akan memainkan sentimen kaum dan agama menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), selepas setahun isu itu reda sejak Pakatan Harapan (PH) digulingkan oleh Perikatan Nasional (PN) yang majoritinya Melayu.

Retorik Melayu-Islam hampir tidak dapat dielakkan kerana ketiga-tiga parti Melayu itu bersaing untuk mendapatkan segmen pengundi yang sama pada pilihan raya umum yang dijangka sekitar akhir tahun ini, kata penganalisis.

“Lebih-lebih lagi, setelah PAS memutuskan untuk tetap bersama Bersatu dalam gabungan Perikatan Nasional,” kata Prof Dr Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya kepada The Malaysian Insight.

Sebelum pembentukan kerajaan PN tahun lalu, Umno dan PAS memainkan isu perkauman dan agama menentang PH dalam isu-isu seperti ICERD (Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum) dan Statut Rom.

Umno juga sering menuduh DAP mempunyai “agenda Kristianisasi” kerana sebilangan ahli parlimennya yang beragama Kristian.

“Oleh kerana Umno, PAS dan Bersatu adalah parti Melayu, semuanya ingin menunjukkan kepada pengundi Melayu mengapa mereka menjadi pelindung kepentingan Melayu dan Islam yang lebih baik,” kata Awang Azman yang mengajar pengajian etika Melayu.

Menggunakan retorik sedemikian akan sangat berguna di negeri-negeri Melayu konservatif seperti Kedah, Kelantan dan Terengganu yang kuat PAS.

“Tetapi retorik seperti itu kurang berkesan di kalangan orang Melayu bandar atau pantai barat kerana mereka terdedah kepada idea lain.

“Oleh itu, bagi Umno, ia akan menunjukkan sisi yang lebih konservatif di pantai timur sambil membiarkan MCA dan MIC menunjukkan sisi Barisan Nasional (BN) yang lebih sederhana di pantai timur.”

Retorik agama dan kaum kurang berkesan di kalangan orang Melayu bandar atau pantai barat kerana mereka terdedah kepada idea lain, kata Prof Dr Awang Azman Awang Pawi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 April, 2021.

Dalam perhimpunan agung Umno 2020 pada 27 dan 28 Mac lalu, Umno telah menyatakan mereka akan melaksanakan langkah-langkah untuk memperkuatkan undang-undang Syariah di Malaysia.

Dalam ucapan dasar, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata parti itu mungkin akan meminda Perlembagaan Persekutuan bagi memperkukuhkan undang-undang syariah setelah kes mahkamah sivil baru-baru ini dilihat mencabar kedudukan sistem mahkamah Islam di negara ini.

Timbalan Menteri Hal Ehwal Agama PAS Ahmad Marzuk Shaary juga telah berjanji untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU355 bagi meluaskan bidang kuasa mahkamah Islam tahun lalu.

Dan pada minggu Umno tegaskan kembali pendiriannya untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu, khutbah Jumaat mendesak umat Islam untuk mengekalkan kerajaan sekarang sambil menolak PH atau “musuh Islam”.

Penurunan sokongan Melayu terhadap Umno?

Tetapi adakah Umno buat ini kerana kurangnya sokongan Melayu?

Pengurus penyelidikan Merdeka Center Tan Seng Keat tidak berpendapat demikian. Sebaliknya, sudah menjadi kebiasaan isu-isu Melayu dan Islam muncul sebelum pilihan raya.

“Sebelum ini, perdebatan dilakukan antara parti BN dan bukan BN, seperti Pakatan Rakyat atau PH, mengenai siapa yang dapat melindungi kepentingan Melayu-Muslim dengan lebih baik.”

Tetapi garis tembung buat PRU15 sedang dicipta semula, sekarang Umno memutuskan untuk menentang PAS dan Bersatu. Pemain utama adalah antara tiga parti Melayu ini, kata Tan.

Tan, yang membuat tinjauan mengukur sentimen politik, berkata terdapat 165 kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia di mana sekitar 120 mempunyai majoriti Melayu.

“Ketiga-tiga parti perlu bersaing di lapangan ini. Dan dengan Umno memasuki pilihan raya sebagai parti yang tidak berkuasa, akan jadi menarik untuk dilihat apakah jentera mereka dapat berfungsi dengan berkesan dalam suasana baharu.

“Bolehkah PAS dan Bersatu menggunakan kelebihan yang diberikan kepada kerajaan pada masa ini? Kita akan tengok,” kata Tan.

Pada pilihan raya 2013, Barisan Nasional memperoleh 60.4% undi orang Melayu. Tetapi disebabkan gelombang anti-BN pada 2018, sokongan orang Melayu turun kepada 43.5%. Sokongan orang Melayu untuk PAS dan Pakatan pada 2018, masing-masing dianggarkan 28% dan 25.5%.

“Zahid mungkin mahu bersaing dengan PAS untuk mendapatkan suara konservatif, tetapi mungkin kalah dengan yang lain,” kata Tan. – 12 April, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen