Kerajaan runding RUU355 dengan negeri dulu, kata timbalan menteri


Diyana Ibrahim Chan Kok Leong

Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri Ahmad Marzuk Shaary memberitahu Dewan Rakyat, RUU 355 akan dibentangkan di negeri-negeri seawal tahun depan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 November, 2020.

KERAJAAN memberi jaminan cadangan pindaan ke atas Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355 akan tetap dilaksana tetapi di peringkat negeri terlebih dulu.

Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri Ahmad Marzuk Shaary memberitahu Dewan Rakyat, ia akan dibentangkan di negeri-negeri seawal tahun depan sebelum dibentang di Parlimen semula.

“Jawatankuasa teknikal akan membawa cadangan pindaan RUU itu di negeri-negeri seawal 2021,” katanya.

Katanya, rundingan itu untuk membolehkan beberapa proses penting perlu diteliti dan diselesaikan terlebih dulu untuk membolehkannya digubal dengan teratur.

Beliau menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PAS – Pasir Mas) yang meminta perdana menteri menyatakan usaha yang dijalankan setakat ini bagi melaksakakan pindaan akta itu.

Ketika ditanya lanjut oleh Fadhli, Marzuk menjelaskan banyak peruntukan Akta 355 itu terletak di bidang kuasa negeri.

“Walau Akta 355 merupakan undang-undang di bawah persekutuan tapi banyak peruntukan di bawah bidang kuasa negeri.

“Adalah amat wajar cadangan pindaan RUU355 dirunding di negeri-negeri terlebih dulu,” katanya.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang membentangkan cadangan pindaan akta kontroversi itu melalui usul persendirian sebagai ahli Parlimen Marang di Dewan Rakyat pada April 2017.

Usul pindaan itu bertujuan menaikkan hukuman maksimum penjara kepada 30 tahun, denda tidak melebihi RM100,000 dan 100 sebatan.

Peruntukan Akta 355 pada masa ini hanya membenarkan Mahkamah Syariah menjatuhkan hukuman maksimum tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam sebatan.

Usaha meminta akta tersebut mendapat tentangan MCA yang kini menjadi antara parti dalam kerajaan Perikatan Nasional bersama PAS.

PAS pula menerima kritikan kerana masih gagal meminda undang-undang tersebut walaupun berjaya menguasai Putrajaya sejak Februari lalu dengan menyertai gabungan itu. – 26 November, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen